Sunday 23 September 2018

Peragut dibelasah orang ramai



KUALA LANGAT: Seorang peragut bukan setakat berputih mata malah terpaksa menanggung ‘azab dunia’ apabila turut dibelasah selepas ditahan orang ramai dalam kejadian di Jalan Kanchong Tengah, Banting, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 1.15 petang itu, suspek berusia 22 tahun dicekup orang ramai selepas meragut beg tangan seorang wanita yang sedang menunggang motosikal di jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata mangsa kemudian mengejar suspek yang menunggang motosikal sehingga dia terbabas ke tepi jalan.

Menurutnya, orang ramai yang berada berhampiran lokasi kejadian turut membantu wanita yang bekerja di kedai serbaneka itu untuk menahan suspek.

“Di dalam beg tangan mangsa ada kad pengenalan, kad bank, telefon pintar serta wang tunai dan semuanya dianggarkan bernilai RM1,500.

“Suspek adalah seorang penganggur dan kawasan terbabit sunyi serta lengang semasa kejadian berlaku,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mohd Azizan berkata, suspek kemudian diserahkan kepada polis peronda yang tiba di lokasi kejadian selepas dimaklumkan orang ramai.

“Suspek dibawa untuk siasatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan polis turut merampas motosikal dinaikinya.

“Keterangan mangsa sudah diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

- Berita Harian -

0 comments:

Post a Comment