Sunday 2 September 2018

Pasangan lesbian jalani hukuman sebat



KUALA TERENGGANU: Hukuman sebatan di khalayak umum yang dikenakan terhadap pasangan kekasih songsang berusia 22 dan 32 tahun di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu berjalan dengan lancar dengan disaksikan kira-kira 100 orang.

Kedua-dua pesalah menjalani hukuman sebatan sebanyak enam kali setiap seorang di hadapan Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun dan Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail kira-kira jam 10.10 pagi.

Hukuman sebatan di khalayak umum yang dilaksanakan hari ini adalah yang pertama kali dilakukan di negeri ini.

Bagaimanapun, hukuman dilaksanakan di dalam Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.

Turut hadir bagi menyaksikan hukuman adalah ahli keluarga pesalah, wakil badan peguam, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil media.

Turut menyaksikan hukuman adalah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim.

Terdahulu, kedua-dua pesalah hadir ke mahkamah secara berasingan sekitar 8.30 pagi sebelum diarah menukar pakaian untuk menjalani hukuman yang dikendalikan pihak Jabatan Penjara Malaysia.

Pada 18 Ogos lalu, kedua-dua pasangan lesbian terbabit dijatuhi hukuman denda sebanyak RM3,300 setiap seorang dan enam sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.


- Berita Harian - 


0 comments:

Post a Comment