Monday 26 November 2018

'Baju polis, tentera tergantung di kedai Mat Bangla'

Mat Bangla

Pakaian seragam pihak berkuasa seperti polis, SPRM, JPJ, penguatkuasa PBT dan tentera mempunyai nilai yang tinggi dalam aspek keselamatan negara.

Pada pandangan orang awam, pakaian seragam ini cukup penting dalam menentukan peranan dan kuasa yang dimiliki si pemakainya.

Namun, kebimbangan wujud apabila warga asing terutamanya warga Bangladesh di pekan Sungai Besi dilihat seperti mempunyai 'lesen besar' untuk menjahit pakaian agensi penguatkuasa di negara ini.

Tidakkah ia akan memudahkan penjenayah melakukan penyamaran menggunakan pakaian seragam ini untuk memeras ugut, rompakan yang akhirnya memberikan imej buruk kepada agensi penguatkuasa.

Ikuti laporan Sinar Siasat yang akan mengupas isu ini.

BIARPUN  pernah didedahkan media sebelum ini, Wartawan Sinar Siasat meninjau semula untuk melihat situasi terkini di pekan Sungai Besi dan alangkah terkejutnya kerana lebih 20 kedai jahit di pekan ini dikendalikan warga Bangladesh.

Wartawan Sinar Siasat merasakan seolah-olah berada di Dhaka pula bila melihat mereka sibuk mengukur, menggunting kain dan menjahit sambil pekerja Bangladesh lain melayan pelanggan rakyat tempatan.Namun yang menjadi persoalan dari aspek keselamatan ialah kedai jahit warga Bangladesh turut mengambil tempahan untuk menjahit pakaian seragam pihak berkuasa seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

Wartawan Sinar Siasat  yang membuat tinjauan di sana mendapati rata-rata papan tanda iklan di kedai jahit mereka tertera iklan khidmat jahitan pakaian seragam pihak berkuasa di negara kita.
Misalnya seorang  tukang jahit secara terang-terangan memberitahu dia memang berkemahiran menjahit apa juga jenis pakaian seragam yang ditempah.

"Baju polis, SPRM semua kita boleh jahit sini.
"Kita boleh siap terus sama itu logo," katanya memberikan  contoh sambil tangannya memegang baju baharu siap dijahit tertulis LHDN.

Berjalan dari satu ke satu kedai jahit, Wartawan Sinar Siasat cuma mengajukan permintaan mahu menempah pakaian seragam kepada tukang jahit sambil meninjau pelbagai jenis pakaian seragam termasuk baju celoreng askar yang tergantung di kedai itu.

Misalnya salah seorang tukang jahit warga Bangladesh itu juga mengakui boleh menjahit pakaian seragam polis tanpa mengira pangkat dan mengenakan caj tambahan untuk meletakkan logo sesebuah agensi.

Nampak sangat mudah untuk menempah semua pakaian seragam itu kerana mereka menerima tempahan tanpa banyak soal.

Mereka cuma bertanyakan berapa helai pakaian mahu ditempah,  lalu terus menyebut  harga pakaian yang hendak  dijahit dengan serendah RM80 hingga RM150 sehelai.

Wartawan Sinar Siasat juga memerhatikan gelagat mereka melayan pelanggan yang datang mahu menjahit pakaian atau melakukan ubah suai. Cukup mudah!

Seorang tukang jahit memberitahu, dia mengambil tempahan sama ada untuk sehelai pakaian seragam atau boleh ditempah secara banyak sekali gus.

"Saya ada lesen," katanya dengan bangga.
Masalahnya bagaimana untuk memantau bahawa tukang jahit warga Bangladesh ini menjahit untuk individu yang betul bukan menjahit pakaian seragam untuk  penyamar atau penjenayah.

Tidakkah tindakan seperti ini merintis kepada jalan penjenayah menyamar sebagai penjawat awam atau penguat kuasa untuk memeras ugut orang lain?

Misalnya, pakaian seragam tentera biasanya dijahit oleh  kontraktor dilantik untuk membekalkan pakaian tentera seperti terdapat dalam kontrak kerana seragam tentera diwartakan.    

- SINAR HARIAN -     

0 comments:

Post a Comment