Thursday 8 November 2018

Warga asing wajar dapat manfaat Belanjawan 2019?

Related image

KUALA LUMPUR - Warga asing yang bekerja dalam pelbagai sektor sama ada profesional mahupun tidak di negara ini wajar mendapat manfaat dalam Belanjawan 2019 terutamanya melibatkan pas perjalanan pengangkutan awam.

Pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Agora Malaysia melalui kenyataan media berkata, ini kerana pekerja warga asing juga memberi sumbangan yang besar dalam pembangunan ekonomi negara.

“Apa yang dilakukan kerajaan melalui Belanjawan 2019 itu baik untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat di bandar tetapi kami kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di mana pas perjalanan hanya untuk rakyat Malaysia.

“Apa yang diumumkan itu tidak termasuk dengan sebahagian besar warga asing yang memberi sumbangan penting terhadap ekonomi Malaysia,” kata kenyataan itu hari ini.



Pertubuhan itu juga mengingatkan, keputusan kerajaan dengan hanya memberikan pas perjalanan kepada rakyat Malaysia sahaja akan memberikan kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi melibatkan pekerja asing.

Mengulas lanjut pertubuhan itu berkata, seperti sedia maklum, ramai tenaga buruh warga asing memenuhi pelbagai permintaan industri di Malaysia di mana pendapatan yang mereka perolehi boleh dikategorikan sebagai rendah.

“Ramai yang bekerja di kilang-kilang, kedai, kawasan pembinaan, ladang dan restoran mamak. Kumpulan seperti ini adalah kumpulan yang berada dalam posisi gaji rendah yang kritikal.

“Jadi mereka boleh diberikan pas perjalanan sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan pertubuhan itu juga mahu kerajaan mempertimbangkan untuk memberi pas perjalanan itu kepada warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

“Kebanyakan mereka juga terbeban dengan kos sara hidup terutamanya bagi menyara keluarga, memainkan peranan bagi memastikan keluarga bahagia dan menstabilkan sumber pendapatan keluarga,” katanya.

Anthony sebelum ini menjelaskan Penggunaan Pas Perjalanan Tanpa Had 30 hari yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 hanyalah untuk pemegang MyKad, MyTentera dan MyKid yang berusia tujuh hingga 12 tahun.

Pas Perjalanan Tanpa Had 30 hari berharga RM100 boleh digunakan di semua perkhidmatan rel Rapid termasuk Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel serta BRT Sunway dan semua perkhidmatan bas kendalian Rapid di Lembah Klang.

- SINAR HARIAN - 

0 comments:

Post a Comment