Tuesday 20 November 2018

Polis kesan individu maki jurujual



KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan individu yang mengeluarkan kata-kata kesat dan berunsur ‘rasis’ terhadap seorang jurujual wanita di sebuah pasar raya di Ampang, Selangor dalam klip video yang tular, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan.

“Kami sedang mengesan individu itu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dalam video berdurasi kira-kira 46 saat itu, seorang individu mendekati seorang wanita berbangsa Cina yang sedang mengedarkan perasa minuman keras di pasar raya berkenaan.

Individu berkenaan mempertikai dan mendakwa perasa minuman keras itu diberikan kepada semua pelanggan.

Bagaimanapun, wanita itu menafikan dakwaan itu sebelum individu berkenaan kemudian mendesak jurujual terbabit menggunakan bahasa Melayu.

Apabila desakan supaya wanita itu berbahasa Melayu tidak diendahkan, lelaki itu menunjukkan isyarat lucah.

Berdasarkan susunan arak yang dilihat dalam klip video itu, kejadian itu dipercayai berlaku di seksyen jualan produk tidak halal.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membuat laporan mengenai klip video berkenaan yang tular, baru-baru ini, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan laporan itu dibuat bagi memastikan polis mengambil tindakan terhadap tindakan individu terbabit bagi mengatasi ketegangan kaum yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

- BERITA HARIAN - 

0 comments:

Post a Comment