Sunday 18 November 2018

Dewan kecoh, pembangkang bidas Moorthy isu ICERD



KUALA LUMPUR - Suhu Dewan Rakyat hari ini kembali panas apabila pembangkang sepakat 'menyerang' Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berhubung pendiriannya mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Moorthy yang ketika itu memberi  ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019, mengenai ICERD beberapa kali 'dihentak' oleh ahli Parlimen pembangkang yang bangun mencelah untuk meminta penjelasan yang jitu mengenai ICERD.

Keadaaan semakin panas apabila Datuk Seri Reezal Merican Naina (BN-Kepala Batas)  tidak bersetuju dengan penjelasan yang dibuat Moorthy.

Reezal menuduh Moorthy memberi kenyataan mengelirukan dengan menyatakan dibawah ratifikasi ICERD Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan mempunyai had masa.
Moorthy menafikan dan  berkata tidak pernah membuat kenyataan demikian.

"Memang jelas apa yang saya cakap dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan saya tidak sebut pun ada jangka masa, saya kata tidak ada jangka masa," kata Moorthy.

Bagaimanapun Reezal tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut dan mengulangi tuduhannya menyatakan kenyataan menteri itu mengelirukan Dewan Rakyat.

Perbalahan berterusan apabila Tan Sri Noh Omar (BN- Tanjung Karang) menyerang menteri dengan mengaitkan isu penyebaran video tular berhubung kenyataan Moorthy mengenai pencabulan hak asasi 10 tahun ketika cuba menjelaskan pendirian kerajaan mengenai ICERD .



"Masalahnya menteri tak layak (bercakap) dalam cakap lain, luar cakap lain," katanya sambil disokong oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat bertambah hangat dengan tindakan Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) yang melaungkan perkataan rasis dan ia diikuti oleh ahli Parlimen pembangkang yang lain.

Pekikan rasis kedengaran di Dewan Rakyat berlarutan sehingga lima minit sehingga di tenangkan Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

"Jika suasana ini berterusan saya terpaksa ambil tindakan, Parlimen tempat perbahasan yang intelektual benarkan menteri habis cakap dulu,". katanya.

Sebelum itu Datuk C Sivaraajh (BN-Cameron Highland)  bangun mencadangkan kepada Speaker untuk menukar wakil menteri lain menjawab bagi pihak Moorthy.

Menteri yang memegang portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan itu berapa kali dilihat cuba bangun untuk menghabiskan sesi penggulungannya bagaimanapun dihalang oleh ahli pembangkang lain.

Keadaan Dewan Rakyat bertambah kecoh menyebabkan menteri itu akur dan  berkata akan memberi jawapan bertulis mengenai ICERD.

"Speaker saya  fikir ahli Parlimen lain tidak beri perhatian kerana  itu saya akan beri jawapan bertulis." katanya sekaligus menamatkan 'perang' yang berlanjutan berkenaan.

- SINAR HARIAN -

1 comment:

  1. Pengkhianat negara ni
    Petisyen desak Waytha Moorthy letak jawatan: http://chng.it/Z2FvBs4n

    ReplyDelete