Thursday 8 November 2018

HARGA GETAH MERUDUM, PENOREH GETAH MERANA



HARGA
getah yang semakin merudum buat penoreh getah terus berkeluh resah. Sedangkan harga barang-barang lain  meningkat termasuk harga makanan dan barang keperluan.
              
Tular video di grup-grup WhatsApp luahan seorang pak cik yang dipercayai juga seorang penoreh getah memeluk sebatang pokok getah dengan berlatar belakangkan kawasan kebun getah namun tidak dipastikan di mana lokasinya.

Dia juga meminta pihak-pihak yang tertentu mengambil tindakan sewajarnya bagi membela nasib pekebun-pekebun kecil sepertinya.

"Saya cukup sedih, kerana harga sekilogram (KG) ikan kembung RM12 berbanding harga sekerap (getah sekerap) hanya RM2.  Anak saya banyak (ramai), (jadi) saya kena motong (menoreh) 10 KG getah berbanding dengan harga (ikan) kembung... menangis saya setiap kali anak saya sedih.

"Anak saya sedih, sekali hadap sahaja (ikan) satu kilogram.  Saya berucaplah (bercakap) (agar) pihak yang berkenaan ambil tindakan sewajar(nya) (dengan) harga pokok-pokok getah pekebun kecil.  Saya haraplah sangat pihak yang memaju (yang) meneroka (ambil tindakan)," luahannya.

Sudah pasti keluhannya itu, turut mewakili penoreh-penoreh getah lain yang berhadapan dengan situasi yang sama.

Sebelum ini, memetik laporan Harian Metro, penoreh getah di Baling, Kedah yang memerah keringat dari pagi hingga tengah hari di kebun yang disewa mereka, tetapi hanya dibayar RM1 sekilogram.

Dengan harga serendah itu, mereka mengikat perut dan terpaksa berhutang demi membeli sekilogram beras untuk keperluan seisi keluarga.

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini juga, harga getah yang rendah memaksa ramai penoreh di sini menggantung pisau toreh buat seketika dan melakukan pelbagai pekerjaan lain termasuk menjadi buruh binaan demi kelangsungan hidup keluarga.

Harga getah sekitar RM2 sekilogram dikatakan tidak berbaloi dengan usaha mereka mengerah keringat sedangkan banyak mulut yang perlu disuap setiap hari.

- SINAR HARIAN - 

0 comments:

Post a Comment