Monday, 12 November 2018

Operasi banteras ragut bermula esok

 

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan Ops Ragut dan Samun Jalanan yang bermula esok selama 30 hari bagi menangani jenayah berkenaan di ibu kota.

Kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas kegiatan jenayah samun dan ragut membabitkan pelancong dan warga tempatan iaitu Bukit Bintang, Pasar Seni dan Kota Raya akan menjadi tumpuan operasi itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata operasi bersepadu berkenaan akan dijalankan oleh beberapa elemen termasuk Jabatan Siasatan Jenaya (JSJ), Unit Polis Pelancong, Unit Rondaan bermotosikal (URB) dan beberapa Balai Polis di sekitar Kuala Lumpur.

“Kita mendapati terdapat peningkatan terhadap jenayah ini disebabkan itu satu operasi khas akan dijalankan bermula esok.

“Kita akan melihat keberkesanan operasi ini. Kawasan tumpuan adalah di daerah Dang Wangi,” katanya.

Mazlan berkata, sehingga Oktober ini sebanyak 252 kes ragut membabitkan pelancong berlaku di Kuala Lumpur.

“Manakala sebanyak 469 kes ragut dilaporkan berlaku untuk warga tempatan. Terdapat sedikit peningkatan berbanding tahun lalu.

“Polis ingin mengurangkan kadar jenayah ini dan jika operasi ini berkesan kita akan teruskan operasi khas ini,” katanya.

- Berita Harian - 

0 comments:

Post a Comment