KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan kerajaan akan memastikan keharmonian dan keamanan negara tidak diperlekehkan oleh sesiapa.
Sehubungan itu, perdana menteri memberi amaran kerajaan tidak akan bertolak ansur dan akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada untuk memastikan perkara itu.
“Jika ada pihak yang melanggar undang-undang untuk kepentingan diri mereka sahaja, maka kerajaan yang mendokong prinsip ‘rule of law’, juga akan bertindak berdasarkan undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Dr Mahathir membuat kenyataan itu susulan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya, Isnin lalu.
Perdana Menteri menegaskan, ia bukan niat kerajaan untuk menghukum sesiapa secara buta-tuli, tetapi demokrasi mempunyai batasnya dan semua pihak harus faham akan batas-batas demokrasi ini.
“Tidak ada sesiapa yang boleh bertindak sesuka hati melanggar undang-undang dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat dan kekecohan dalam negara,” katanya. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment