KUALA LUMPUR - Video memaparkan seorang lelaki bersenjatakan besi dikepung dan dipukul sebelum ditahan polis yang tular di media sosial adalah membabitkan operasi penahanan suspek yang dipercayai terlibat dengan kegiatan jenayah.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2 petang semalam di kawasan Bandar Sri Permaisuri.
Menurutnya, lelaki tersebut sebelum itu terlebih dahulu menyerang dan cuba mencederakan anggota polis menggunakan senjata tajam dan besi tersebut.
“Semasa anggota dari Balai Polis Salak Selatan membuat rondaan cegah jenayah, telah terima maklumat terdapat seorang individu yang sedang membuat kacau dan menggangu orang awam di kawasan Bandar Sri Permaisuri.
“Anggota-anggota tersebut terus ke lokasi dimaksudkan dan berjaya mengesan individu yang dimaksudkan yang sedang duduk di atas sebuah motosikal.
“Semasa anggota tersebut cuba menghampiri individu tersebut dan setelah memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad kuasa, individu tersebut terus mengeluarkan dua bilah pisau kecil pemotong sayur dan pemotong kertas dan mengambil sebatang besi yang dikutip di tepi jalan dan kemudiannya mengacu pisau dan besi tersebut kepada anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, ketika kejadian, salah seorang anggota telah bertindak menghubungi anggota lain yang sedang bertugas ronda cegah jenayah di kawasan lain untuk membantu.
“Dengan turut dibantu oleh orang awam, suspek telah berjaya ditahan. Semasa pemeriksaan dibuat ke atas beg dipakai suspek, telah menemui satu tiub straw disyaki berisi dadah dan satu peket plastik lutsinar juga disyaki berisi dadah.
“Semakan ke atas motosikal yang digunakan suspek masih dilaporkan hilang di kawasan Cheras,” katanya.
Tambah Mohamed Mokhsein, suspek warga tempatan berumur 33 tahun ini turut mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek dibenarkan untuk direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama (4) hari bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
- SINAR HARIAN -
0 comments:
Post a Comment