Wednesday 30 May 2018

Putrajaya peruntuk RM40 juta untuk RTM siar Piala Dunia



RTM akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan Piala Dunia 2018, di mana 27 perlawanan akan ditayangkan secara langsung manakala 14 perlawanan lain disiar melalui siaran tertangguh.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kabinet memperuntukkan RM40 juta untuk membeli hak penyiaran berkenaan.

Gobind berkata butiran mengenai bagaimana peruntukan berkenaan dibelanjakan akan dijelaskan semasa taklimat khas mengenai kewangan negara esok.

"Secara keseluruhan, saya boleh katakan sekarang angka yang kabinet bahas sebelum ini ialah RM40 juta.

"Sudah tentu akan ada penaja dan sebagainya dan mereka akan menyerap sebahagian besar daripadanya," katanya selepas mempengerusikan pertemuan dengan pegawai kementeriannya petang ini.

Bagaimanapun, Gobind menjangkakan kosnya kurang daripada RM40 juta.
Beliau berkata cadangan untuk menyiarkan perlawanan secara langsung pertama kali dibangkitkan oleh beberapa anggota parlimen termasuk Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Ini adalah perkara penting kerana Piala Dunia 2018 adalah acara antarabangsa dan ia bagus untuk RTM menyiarkannya secara langsung.

"Saya perlu membincangkannya dengan kabinet terlebih dahulu dan Kementerian Kewangan akan mengumumkan butiran mengenai kos," katanya.

- MalaysiaKini -

Tuesday 29 May 2018

Tiada lagi polis pengiring Dato' Sri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Semua pegawai keselamatan, polis pengiring dan pegawai  bantuan ditugaskan  mengawal bekas Perdana Menteri, Datuk  Seri Najib Tun Razak telah ditarik balik.

Najib menerusi hantaran di Facebooknya menulis, hari ini beliau membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, Unit Tindakan Khas, polis pengiring dan pegawai, yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepadanya dan keluarga sama ada di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana.

“Sejak beberapa minggu ini, kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepada saya sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC (Aide De Camp).

“Tak dapat dinafikan, mereka berselubung emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika kami berlafaz kata perpisahan. Saya dan keluarga tidak akan lupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang sembilan tahun ini, termasuk mereka yang sudah berjasa kepada kami selama 14 tahun semasa saya masih Timbalan Perdana Menteri,” tulisnya.

Beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada pegawai-pegawai keselamatan berkenaan.
Najib kembali pada 7.48 petang tanpa polis pengiring.
“Sehingga kita bertemu lagi, saya ucapkan kepada mereka selamat maju jaya dan berharap mereka akan terus berkhidmat kepada kerajaan baharu dengan dedikasi dan kesetiaan yang sama ketika bersama saya.

“Saya juga mohon kerajaan baharu supaya sentiasa menjaga kebajikan mereka kerana mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan,” katanya.

Pada jam 6.45 petang tadi, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor keluar dari kediaman mereka di Langgak Duta  masih diiringi polis namun, apabila  kembali semula pada 7.48 petang tanpa polis pengiring.

Najib kini berdepan dengan siasatan berkaitan penyelewengan SRC International.

- Sinar Harian -

Masih ada pegawai bantuan untuk Dato' Sri Najib Razak - KPN



KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menjelaskan beberapa orang pegawai pengiring termasuk seorang pegawai Aide De Camp (ADC) masih terus bertugas bagi mengawal bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, selain seorang pegawai ADC, bekas perdana menteri mempunyai kelayakan-kelayakan tertentu mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk mendapatkan pemandu peribadi dan pegawai keselamatan.

“Kita akan tetapkan mengikut SOP yang ada, bekas perdana menteri dia ada kelayakan-kelayakan tertentu, kita akan akur.

“Macam ADC kita kekalkan termasuk untuk Datin Seri (Rosmah Mansur), ada pegawai keselamatan dan ada pemandu peribadi, (itu) kita akan kekalkan.

“Bukan semua pegawai pengiring akan ditarik balik, kita akan tetapkan pegawai seperti mana SOP,” katanya kepada pemberita.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi polis pengiring Najib]
Mohamad Fuzi berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita sewaktu hadir ke Majlis Iftar Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Dalan Negeri bersama Warga PDRM di Masjid Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, Najib menerusi hantaran di Facebooknya menulis bahwa semua pegawai keselamatan, polis pengiring dan pegawai  bantuan ditugaskan  mengawalnya telah ditarik balik.

“Sejak beberapa minggu ini, kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepada saya sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai ADC,” tulisnya.

- Sinar Harian -

PM umum bonus penjawat awam esok - Guan Eng

- Gambar Hiasan -

KUALA LUMPUR 29 Mei - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pemberian bonus Aidilfitri bagi kira-kira 1.6 juta penjawat awam di negara ini akan diumumkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, esok.

"Itu (bonus raya penjawat awam) mungkin diumumkan oleh PM esok... lebih baik tunggu keputusan esok," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Tokong Buddha Maha Vihara di Brickfields, di sini hari ini.

Dr. Mahathir dijadual mempengerusikan mesyuarat Kabinet, esok.
Semalam, Dr. Mahathir berkata kerajaan akan memberikan bonus kepada penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri tetapi belum menetapkan bayarannya.

Sambutan Hari Wesak di tokong itu disertai lebih 5,000 penganut Buddha. - BERNAMA

Sunday 27 May 2018

Pegawai polis cuba jual peluru ditahan



Kuala Lumpur: Seorang pegawai kanan polis diberkas selepas dikesan cuba menjual lebih 500 peluru hidup milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 30-an ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hasil maklumat yang diperoleh.

Menurutnya, suspek yang memandu sebuah kereta ditahan polis di Pusat Bandar Puchong jam 10.30 malam kelmarin.

Menurutnya, polis yang melakukan siasatan lanjut terhadap kereta milik suspek menemui satu tong peluru diletakkan di bahagian tempat duduk belakang penumpang kenderaan.

"Terdapat 11 kotak peluru pistol di dalamnya tong itu dengan setiap satu kotak berisi 50 butir peluru hidup.

Selain itu terdapat juga sekotak peluru mengandungi 19 butir peluru milik PDRM.
"Siasatan lanjut mendapati suspek cuba menjual peluru itu kepada pelanggan tertentu. Bagaimanapun polis masih menyiasat identiti pelanggan terbabit," katanya.

"Susulan itu suspek ditahan dan dibawa ke IPK Selangor untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Senjata 1960," katanya.

Saturday 26 May 2018

Polis Kuala Lumpur tolak pemberian coklat



KUALA LUMPUR: Polis menolak pemberian beberapa bungkusan coklat daripada peguam Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim bersama beberapa orang awam yang tampil di Balai Polis Hartamas di sini petang ini.

Mereka dilihat tiba di pekarangan balai polis berkenaan dengan membawa beberapa kotak berisi coklat pelbagai jenis pada jam 4 petang.

Bagaimanapun pemberian kesemua mereka yang ingin menghadiahkan coklat kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditolak anggota dan pegawai di balai polis itu.
Mereka juga tidak dibenarkan memasuki ke dalam balai polis berkenaan.

Kumpulan yang diketuai Siti Kasim itu kemudian bertindak menyerahkan kesemua coklat berkenaan kepada anggota Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas di balai yang terletak bersebelahan.

Siti Kasim menganjurkan kempen 'Jom Bagi Coklat Kat Abang dan Akak Polis' itu menerusi laman Facebooknya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, polis Kuala Lumpur mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana sudi menghadiahkan coklat sebagai tanda penghargaan kepada polis hari ini.

"Bagaimanapun polis Kuala Lumpur tidak dapat menerimanya kerana ada prosedur operasi standard (SOP) tertentu (yang mesti dipatuhi)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pemeriksaan Bernama di laman peristiwa Facebook yang dicipta Siti Kasim mendapati ramai netizen mendakwa pemberian coklat kepada anggota dan pegawai polis di kawasan lain turut ditolak.

- BERNAMA

Friday 25 May 2018

Polis masih belum terima laporan KP SPRM - KPN



KUALA LUMPUR: Polis sedia jalankan siasatan sekiranya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull membuat laporan tentang ancaman yang diterimanya ketika menjalankan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDD) pada 2015.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, memaklumkan sehingga kini pihaknya tiada menerima sebarang laporan berhubung kes berkenaan daripada mana-mana pihak termasuk daripada Mohd Shukri sendiri.

"Perkara itu berlaku sudah agak lama kecuali dia (Mohd Shukri) buat satu laporan polis baharu (maka polis akan jalankan siasatan).

"Ini kerana sebelum ini pun, tiada apa-apa laporan polis (berhubung kejadian itu) dan kita pun sedia maklum dengan apa yang dinyatakan oleh beliau (Mohd Shukri) tempoh hari," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan berhubung tindakan polis terhadap dakwaan Mohd Shukri dalam satu sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Selasa lalu bahawa dia diugut untuk dipecat, bersara awal, dipindahkan ke unit lain serta menerima ugutan peluru.

Mohd Shukri turut mendakwa terpaksa lari Washington bagi mendapatkan perlindungan setelah mendapat maklumat akan ditangkap atas pertuduhan melakukan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan, pada 31 Mei 2015.

Ketika di Washington, dia mendakwa diekori beberapa individu dikatakan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang pada masa itu Ketua Polis Negara adalah Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ditanya sama ada polis akan menjalankan siasatan terhadap bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Mohd Fuzi berkata pihaknya belum mempunyai sebarang petunjuk lagi untuk berbuat demikian.

"Siasatan sudah pun dijalankan oleh SPRM, jadi biarlah SPRM jalankan siasatan daripada perspektif mereka dahulu.

"Kita akan tunggulah apakah perkembangan siasatan oleh SPRM itu," katanya.

Rabu lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan merampas wang tunai RM500,000 susulan pemeriksaan ke atas tiga premis yang ada kaitan dengan Abdul Azeez iaitu kediamannya di Baling, Kedah dan Subang, Selangor serta pejabatnya di Jalan Tun Razak, di sini.

Ditanya mengenai kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Mohamad Fuzi berkata, tiada keperluan untuk polis membuka semula siasatan berhubung kes itu buat masa ini sehinggalah pihaknya menerima maklumat baru.

- Berita Harian -

Tuesday 22 May 2018

Polis tembak dua lelaki dipercayai Geng Mamak



SEREMBAN: Dua lelaki dipercayai anggota Geng Mamak ditembak mati di Jalan Chengkau-Pulau Mampat di Chengkau di sini, awal pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) mengekori Honda Accord dinaiki suspek pada jam 12.15 tengah malam selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya PLUS.

Sumber berkata, polis menghampiri kenderaan dan mengarahkan berhenti namun pemandunya memecut menyebabkan anggota berkenaan mengejar sejauh tiga kilometer.

"Kereta dinaiki suspek berusia lingkungan 30-an membelok masuk ke Jalan Chengkau-Astana Raja dan polis terus mengejarnya sehingga satu kilometer, sebelum kenderaan itu dipintas.

"Sebaik tiba di lokasi, dua lelaki melarikan diri ke dalam semak manakala seorang suspek melepaskan beberapa das tembakan dan seorang lagi melibas parang ke arah anggota polis," katanya.

Menurut sumber, bagi mempertahankan diri polis terpaksa menembak mati dua penjenayah terbabit dan pemeriksaan pada tubuh mereka tidak menemui sebarang identiti.

"Polis merampas sepucuk revolver dan sebilah parang manakala pemeriksaan ke atas kereta mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama individu lain.

"Pemeriksaan lanjut menjumpai sebuah beg, alat pembesar suara, ves polis, lencana kastam, gari dan topeng manakala sepucuk pistol semi automatik ditemui di bawah alas kaki belakang pemandu," katanya.

Polis juga menemui beberapa dokumen, kalkulator, kunci kereta, kad kuasa polis palsu, dua jaket, parang, kapak, topi polis, lampu 'beacon' serta plet nombor pendaftaran kenderaan dalam but kereta.

"Buat masa ini usaha mengesan dua suspek yang melarikan diri giat dijalankan. Mayat penjenayah yang ditembak mati itu dihantar untuk bedah siasat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin, berkata polis sedang menyiasat latar belakang suspek serta pembabitan jenayah mereka di negeri lain dan akan mengadakan sidang media esok.

- Berita Harian -

KP SPRM disyor buat laporan polis - Tan Sri Muhyiddin



PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, diminta membuat laporan polis, jika benar menerima ancaman ketika menjalankan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tindakan hanya boleh diambil jika laporan polis dibuat dan wujud bukti 'prima facie' selepas siasatan dijalankan.

"Kalau ada laporan bahawa beliau diancam...polis kena siasat, perlu kemukakan fakta dan hasil siasatan.

"Itu prosedur operasi standard (SOP) kami dan kalau ada (bukti) prima facie, tindakan akan diambil," katanya pada sidang media selepas memulakan tugas rasmi di kementeriannya di sini, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Mohd Shukri yang mendakwa terpaksa meninggalkan Malaysia kerana merasakan nyawanya terancam ketika mengetuai siasatan skandal kewangan berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas subsidiari 1MDB, tiga tahun lalu.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. Muhyiddin berkata, beliau yakin Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tahu apa yang perlu dilakukan berhubung pendedahan terbabit.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, polis akan cuba menyelesaikan secepat mungkin siasatan skandal 1MDB yang kini mendapat perhatian ramai.

Beliau berkata, selain polis, siasatan kes itu turut membabitkan agensi lain, antaranya SPRM.
"Sebab itu saya tidak boleh ulas panjang. Bagi pihak polis, kami akan cuba selesaikan secepat mungkin," katanya.

Mengenai kemungkinan polis akan membuka semula siasatan kes kematian model Mongolia Altantuya Sharibuu, Mohamad Fuzi berkata beliau perlu berbincang dengan pegawainya terlebih sebelum membuat sebarang keputusan.

- Berita Harian - 

KOMEN PENULIS TENTANG SIDANG MEDIA 'BEREMOSI' KP SPRM


SEMALAM ramai dapat lihat secara live bagaimana Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull mendedahkan macam-macam pasal diri dan cabaran yang beliau terpaksa tempuh sepanjang kariernya sampai beliau sebak-sebak dalam TV kalau kita tengok.

OK. Cukuplah Datuk Seri. Sejujurnya saya tidak begitu bersetuju dengan cara itu kerana sebagai ketua kepada satu badan tertinggi yang diberi kuasa untuk memerangi rasuah dan segala penyalahgunaan kuasa ini, Datuk Seri tak boleh MENZAHIRKAN emosi , kesedihan, kemarahan semua ini secara terbuka kerana ia boleh mengundang 1,001 macam persepsi dan andaian.

Saya tidak dapat bayangkan kalau Panglima ATM, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Imigresen, Ketua Pengarah Penjara etc pun buat benda yang sama andaikata mereka kecewa sepertimana yang Datuk Seri buat semalam.

Bayangkan lepas ni, kalau ada mana-mana ketua jabatan kerajaan yang frust, mereka terus bertindak buat press conference untuk buat luahan hati secara terbuka, mau haru jadinya!

Pada masa yang sama, saya sedar Datuk Seri juga manusia biasa, kalau saya di tempat Datuk Seri, silap haribulan bukan setakat sebak, entah-entah saya siap berguling-guling meraung dalam sidang media tu, sebab tulah saya memang tak layak duduk kat tempat Datuk Seri ahaks!

Apapun sekarang ada tugas yang cukup berat menanti Datuk Seri. Datuk Seri kena dilihat gagah, berani, cekal untuk melaluinya kerana kalau Datuk Seri kuat, anak buah Datuk Seri di SPRM pasti akan lebih bersemangat menjalankan tugas mereka, kalau sebaliknya, mereka pasti sepuluh kali akan lebih 'down'.

Saya hanya rakyat biasa dan mungkin tak tahu apa-apa, hanya pada Datuk Seri dan anak-anak buah Datuk Seri lah yang kami harapkan untuk membersihkan segala 'kekotoran' ini sekiranya wujud.

Jangan marah Datuk Seri, ini hanyalah apa yang saya rasa dan ia tak semestinya betul.
All the best to u Datuk Seri dan semua warga kerja SPRM. U simply the best kata Tina Turner!

Penulis - Syahril A Kadir 

Monday 21 May 2018

SIASATAN 1MDB. BARANG KES DIKAWAL UNIT TINDAK KHAS (UTK)

KUALA LUMPUR: Wang tunai berjumlah puluhan juta Ringgit Malaysia (RM) yang disimpan dalam 11 beg, selesai menjalani proses pengiraan oleh pasukan penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di ibu pejabatnya dekat Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini, malam ini.

Sebelas beg terbabit adalah sebahagian daripada 72 beg bagasi disita polis dalam pemeriksaan terhadap tiga unit kediaman milik keluarga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kenalannya bergelar Tan Sri dari pangsapuri mewah, Pavilion Residences di sini, pada Jumaat lalu.


Difahamkan, pagi tadi, sebanyak 26 beg berisi wang tunai dibawa ke bangunan terbabit untuk proses pengiraan, namun hanya 11 beg selesai menjalani proses pengiraan malam tadi.

Sepasukan pegawai dan anggota polis membawa keluar kurang 30 beg-beg mengandungi wang tunai pelbagai matawang selepas proses pengiraan selesai dijalankan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, jam 9 malam tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir
Susulan itu baki 15 beg yang masih belum dikira dilihat dibawa keluar bermula jam 8.55 malam tadi sebelum dimasukkan ke dalam lori polis yang menunggu di tingkat bawah lobi menara berkenaan.

Proses membawa wang berkenaan dikendalikan pegawai dan anggota JSJK dengan kawalan ketat anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman.

Tepat jam 9 malam tadi, lori berkenaan diiringi dua kereta peronda polis (MPV) model Mitsubishi Lancer dan empat motosikal polis trafik serta lima kereta Proton Preve dipercayai menuju ke Bukit Aman.

Tidak lama kemudian 11 lagi beg berisi wang yang sudah dikira turut dibawa keluar dari bangunan terbabit untuk dihantar ke Bank Negara Malaysia (BNM).

Wartawan yang melakukan tinjauan mendapati sepasukan pegawai dan anggota polis membawa keluar 26 beg itu dengan diberi kawalan ketat.

Beg terbabit adalah sebahagian daripada 72 beg diambil pihak JSJK Bukit Aman Khamis lalu di Pavilion Residences di sini, selepas siasatan dilakukan sejak Rabu lalu.

Berdasarkan maklumat diperoleh, proses pengiraan wang dilakukan oleh pegawai dan anggota JSJK bermula sekitar jam 10 pagi semalam.

Proses pengiraan mengambil masa yang panjang disebabkan jumlah wang terlalu banyak, termasuklah membabitkan pelbagai mata wang asing.

Selain itu, anggota penyiasat JSJK juga perlu merekodkan setiap nombor siri setiap mata wang berkenaan untuk dijadikan bukti dalam proses siasatan susulan.

Sementara itu, berdasarkan maklumat lain diperoleh, sebuah bank akan menjalankan proses pengiraan nilai semua barang kemas dan jongkong emas yang dirampas dalam serbuan sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, ketika dihubungi bagi mengesahkan perkara berkenaan enggan mengulas lanjut proses pengiraan wang yang sedang dijalankan pihaknya.

Ini bagi mengelakkan wujudnya pelbagai spekulasi tidak benar berhubung wang tunai dan barang yang dirampas dalam pemeriksaan JSJK sebelum ini.

KELIBAT polis membawa beg berisi wang dirampas sebelum ini.

Anggota polis membawa 15 dari 26 beg mengandungi wang tunai yang belum selesai dikira dari Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Menara KPJ, ke Bukit Aman. - Foto Sairien Nafis

- Berita Harian -


Polis tangkap polis



AMPANG JAYA: Lima anggota polis ditahan kerana memiliki kad pengenalan individu lain dan syabu dalam sebuah van Balai Polis Bergerak, Pandan Indah di sini, kelmarin.

Sumber memberitahu, serbuan yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu hasil aduan awam.

Katanya, pemeriksaan mendapati semua suspek yang berusia 30 hingga 34 tahun adalah anggota tugas am yang terbabit dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di Pandan Indah.

"Pemeriksaan membawa kepada penemuan lima kad pengenalan milik individu lain dan tiga lesen kenderaan memandu atas nama individu tidak dikenali serta sepaket dadah jenis syabu seberat 1.06 gram," katanya.

Anggota terbabit ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Friday 18 May 2018

Peti besi berusia 20 tahun Najib Razak akhirnya dibuka




KUALA LUMPUR 18 Mei – Sejumlah wang tunai dipercayai ditemukan di dalam peti besi berusia 20 tahun di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, di sini hari ini.

Peti besi itu yang didakwa tidak dibuka sejak sekian lama kerana kehilangan kunci berjaya dibuka pukul 6 petang .

Menurut sumber, dua tukang kunci ditugaskan untuk membuka peti besi yang berada di tingkat satu kediaman Ahli Parlimen Pekan itu.

"Tugasan membuka peti berkenaan telah selesai dan peti besi itu mengandungi sejumlah wang tunai," ujarnya.

Bagaimanapun jumlah wang tunai di dalam peti itu masih belum dapat dipastikan. - UTUSAN ONLINE


- Gambar Hiasan -

Thursday 17 May 2018

72 BEG DAN 284 KOTAK DIRAMPAS DI KONDO MEWAH MILIK 'TAN SRI'



SIKAP PROFESIONAL SEORANG PEGAWAI POLIS BERNAMA AMAR SINGH ISHAR SINGH

SUSULAN daripada rampasan 72 beg mengandungi wang tunai, barang kemas dan barangan berharga serta 284 kotak mengandungi beg tangan berjenama seperti Hermes dan Birkin di Pavilion Residence Apartments malam tadi.

Operasi itu diketuai sendiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Korang boleh nak tulis apa saja tetapi izinkan aku melihat isu ini dari sudut yang sedikit berbeza.
Aku tertarik cara Amar mengendalikan sidang akhbarnya. Nampak betul beliau tenang walau diasak dengan soalan bertubi-tubi daripada media tempatan dan antarabangsa. Masih memanggil para wartawan dengan gelaran 'Tuan-Tuan' sebagai tanda hormat walaupun ada je pegawai polis yang panggil wartawan dengan 'kamu, korang, awak, you' dan sebagainya
Berbalik pada operasi malam tadi, Amar sudah tentu akan dianggap hero kalau beliau DEDAHKAN siapa pemilik barangan yang dirampas itu. Berita malam tadi juga pasti akan lebih HANGAT kalau beliau dedahkan siapakah Tan Sri pemilik kondo mewah yang diserbu itu.

Namun Amar tahu, adalah tidak bijak untuk mendedahkan 'segala-galanya' kerana ini baru masuk peringkat awal siasatan dan beliau perlu adil pada semua pihak.

Ini kerana kalau 'salah cakap', ia akan menjejaskan siasatan yang sedang dilakukan.
Pihak polis tak boleh menjalankan siasatan ikut emosi, ikut persepsi, ikut apa yang media atau rakyat nak, mereka kena berpaksi pada garis panduan undang-undang, tak lebih dan tak kurang.


Pada yang belum mengenali pegawai polis tinggi lampai ini, Amar berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari Universiti Malaya (UM), Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Buckingham serta Sijil Amalan Guaman (CLP) daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang.Selain itu, beliau juga memperoleh Ijazah Sarjana Keadilan Jenayah dari UM dan Diploma Amalan Undang-Undang Syariah, Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Beliau juga antara pegawai polis yang mengendalikan beberapa kes utama termasuk yang menggemparkan negara antaranya melibatkan bekas eksekutif kanan PetroSaudi International, Xavier Andre Justo di Bangkok, Thailand dan kes pembunuhan yang dilakukan bomoh wanita, Mona Fandey.

Apapun kita kena tenang dan jangan kalut, biar Amar dan anggota pasukannya buat kerja mereka dulu.

Kena ingat, Ini bukan drama Gerak Khas, siasat pagi malam selesai. Kalau camtu dah lama usop haslam jadi Ketua Polis Negara hehehe...

Kredit - Syahril A. Kadir
https://www.facebook.com/syahrilkadir/posts/10156346969573050

Polis rampas wang tunai, barang kemas dari kondo milik 'Tan Sri'



Ketika polis meneruskan serbuan di kediaman Datuk Seri Najib Razak di Taman Duta, satu lagi serbuan dilakukan malam ini di kondominium mewah yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu di Jalan Raja Chulan.

Menurut Astro Awani, polis merampas sejumlah wang dan barang kemas yang tidak didedahkan nilainya daripada kediaman mewah tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan bahawa serbuan sedang dilakukan.

Laporan itu mengatakan seorang pegawai polis turun dari unit kondominium itu kira-kira 10.56 malam, dengan membawa lebih 20 bagasi, termasuk mesin pengiraan wang.

Amar Singh juga dipercayai berada di unit kondominium dan dijangka mengadakan sidang akhbar selepas itu.

Sementara itu Bernama melaporkan, Amar Singh mengesahkan serbuah dilakukan dan perkembangan lanjut akan diberitahu kemudian.

"Saya hanya boleh mengesahkan bahawa kami sedang membuat serbuan di sini, sebarang perkembangan akan diberitahu kemudian," katanya.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini.

Selasa lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib bagaimanapun berulangkali menafikan terlibat dalam sebarang salah laku.

Sumber Malaysiakini - https://www.malaysiakini.com/news/425523

Wednesday 16 May 2018

Polis serbu rumah Najib Razak



KUALA LUMPUR 17 Mei - Kira-kira 16 buah kereta bersama sebuah trak polis dilihat masuk ke kawasan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, di sini malam tadi.

Najib sebelum itu keluar dari rumahnya untuk menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung Baru, di sini dan pulang kira-kira pukul 9.53 malam.

Polis pula hadir kira-kira pukul 10.16 malam selepas Najib pulang menunaikan solat tarawih di masjid tersebut.

Antara barangan dilihat dalam trak tersebut ialah kotak dengan logo polis yang tertera tulisan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Turut dilihat hadir ke rumah bekas Perdana Menteri itu ialah peguamnya, Datuk Hasnal Rezua Merican bersama seorang wanita yang tidak dikenali.

Selain lokasi berkenaan, polis juga dikatakan pergi ke empat lokasi lain iaitu di Seri Perdana, Menara Pavilion A dan B serta Pejabat Perdana Menteri.

Kehadiran polis dikatakan untuk mengambil dokumen di rumah berkenaan dan bukan membawa individu keluar dari kediaman tersebut.

Buat masa ini, sejumlah besar wartawan tempatan dan asing hadir ke lokasi namun belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak polis. - UTUSAN ONLINE
 
 

Monday 14 May 2018

2 laporan polis individu hina Perdana Menteri

IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Ipoh Timur membuat dua laporan polis hari ini, berhubung tindakan beberapa pemilik akaun laman sosial Facebook dan WhatsApp yang menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penaja PPBM Bahagian Ipoh Timur, Afzainizam Salleh, berkata laporan dibuat berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan pemilik akaun terbabit yang secara terang menghina pemimpin negara itu.

Beliau berkata, pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Kyle Darwin dan Man Toba memuat naik status memaparkan perkataan kasar dan lucah bagi menghina Dr Mahathir.

Selain itu, katanya, berita palsu iaitu satu mesej bergambar mengatakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dimansuhkan bermula 1 Jun ini dengan menggunakan kepala surat Kementerian Kewangan (MOF) juga turut viral melalui aplikasi kumpulan WhatsApp.

"Semua status media sosial mereka terkandung status provokasi yang menghina Perdana Menteri yang dibuat sebelum hari pengundian dan sehingga kini, status itu masih dikongsi ratusan pemilik akaun lain.

"Kami mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap dua pemilik akaun terbabit," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan laporan itu di Balai Polis Pasir Putih di sini, petang ini.

Afzainizam berkata, pihaknya juga meminta semua rakyat yang melihat status menghina Perdana Menteri untuk tampil membuat laporan polis.


"Sebenarnya banyak lagi akaun laman sosial menghina Perdana Menteri, justeru kita meminta rakyat tampil membuat laporan supaya tindakan dapat diambil kepada pelaku berkenaan," katanya.



KETUA Penaja PPBM Bahagian Ipoh Timur, Afzainizam Salleh menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung tindakan beberapa pemilik akaun laman sosial Facebook dan WhatsApp yang menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto L Manimaran

Sunday 6 May 2018

CUBAAN SEBAR FITNAH. PDRM SIASAT PENDEDAHAN AHLI DAP



KUALA LUMPUR: Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan bahawa DAP menghasilkan puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang mengganggu amalan demokrasi berparlimen.
"Kami memandang serius perkara itu kerana ia boleh mengancam keselamatan negara. Mana-mana parti politik yang mahu berkempen, jangan sampai mengganggu keselamatan negara," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas tinjauan mesra pencegahan jenayah Polis Kuala Lumpur di pusat beli-belah MyTOWN di sini, hari ini.

Semalam, Penolong Penerbit UbahTV iaitu laman televisyen rasmi dalam talian DAP, Amran Ahmad, mendedahkan DAP mereka puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin BN termasuk Perdana Menteri.

Amran yang juga bekas pegawai khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mendedahkan semua bahan propaganda berniat jahat dan berunsurkan fitnah itu sudah siap dan akan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian Rabu ini.

Beliau yang membuat laporan polis di Bukit Aman, semalam, dilaporkan berkata, antara fitnah sedang dan akan terus disebarkan parti pembangkang adalah berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), FELDA dan Tabung Haji, selain menyentuh perkauman, menghina agensi kerajaan, ekonomi, tol dan projek kerajaan lain.

- Berita Harian -