KAMPAR: "Walaupun miskin tetapi saya tidak tamak, sebaliknya pemilik beg itu perlukan duit untuk kecemasan," kata Cheah Keng Keong, yang nyata berhati mulia apabila mengembalikan beg berisi wang tunai RM4,000 ditemui kepada pemiliknya.
Pengutip barang kitar semula berusia 48 tahun itu berkata, dia menemui beg hitam mengandungi wang terbabit di Jalan Batu Sinar dekat sini, jam 1.20 petang semalam.
Katanya, kejadian berlaku dia menaiki motosikal bersama anak perempuannya dari rumah mereka di Taman Bandar Baru Selatan untuk ke stesen minyak berhampiran.
"Dalam perjalanan itu, saya terlihat menemui beberapa keping wang kertas RM5 di laluan hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentosa.
"Saya pun memberhentikan motosikal untuk mengutip wang berkenaan sebelum melihat sebuah beg mengandungi wang dan dompet.
"Sebaik melihat isi kandungan beg itu, saya terus membawanya ke Balai Polis Kampar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Keng Keong berkata, dia sendiri tidak tahu jumlah sebenar wang tunai dalam beg berkenaan.
"Dalam beg itu ada kad pengenalan, jadi polis boleh tolong pulangkan wang berkenaan kepada pemiliknya.
"Saya beritahu anak, wang itu orang lain punya dan tidak boleh sesuka hati mengambilnya," kata bapa kepada tiga anak itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata Keng Keong menyerahkan beg berkenaan bersama wang di dalamnya kepada polis yang kemudian berjaya mengesan pemiliknya.
Beliau berkata, polis mengesan pemilik beg terbabit iaitu seorang guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan meminta guru berkenaan datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk mengambilnya.
"Saya bercadang menganugerahkan sijil penghargaan kepada Keng Keong kerana sikap jujur dan amanah sempena Hari Polis nanti.
"Lelaki berkenaan memberitahu walaupun dia hidup dalam serba kekurangan, namun dia tidak mengambil duit itu. Sikap itu harus dipuji.
"Malah pemilik beg berkenaan ada meminta saya menyampaikan sedikit saguhati kepada Keng Keong kerana bersikap jujur memulangkan beg terbabit," katanya ketika dihubungi.
- Berita Harian -
0 comments:
Post a Comment