Thursday, 15 March 2018

BILANGAN PENJAWAT AWAM TIDAK AKAN DIKECILKAN



Program Bajet 2018 Bersama Rakyat kali ini diadakan di Perak Darul Ridzuan, di bandar Ipoh. Kalau di Perlis kelmarin saya bersama-sama dengan para pelajar, sesi kali ini diadakan bersama para penjawat awam.

Tiba di Dewan Seri Perdana di Ulu Kinta, saya lihat dewan penuh dengan para penjawat awam dari pelbagai agensi. Meriah sambutan diberikan, terima kasih saya ucapkan.

Saya kongsi kepada penjawat awam bahawa kalau hadir ke Ipoh ini, mesti saya akan teringat kepada Nasi Vanggey, favourite saya. Memang sedap, dan kedainya juga unik, berniaga di Kedai Kopi Cina Yong Xuan, yang memasaknya India Muslim, pekerja kedai kopi Melayu, memang 1Malaysia!

Bila bersama penjawat awam ini, saya ambil peluang untuk terangkan bahawa kejayaan yang kita kecapi hari ini, tak mungkin dapat kita capai tanpa sumbangan daripada mereka semua. Sebab itulah saya gelar penjawat awam sebagai tulang belakang negara.

Para penjawat awam ini sebenarnya besar tanggungjawabnya. Walau di dalam jabatan mana mereka bekerja, dalam apa jawatan sekalipun, mereka tidak seharusnya melihat diri sekadar bekerja biasa, sebaliknya mereka bekerja dan berkhidmat mewakili rakyat, Kerajaan dan negara Malaysia sendiri.
Hasil gandingan penjawat awam Persekutuan dan Negeri, dengan kepimpinan hari ini,

Alhamdulillah, tahun lepas keseluruhannya ekonomi kita berkembang 5.9 peratus, antara yang tertinggi di dunia.

Dari segi credit ratings, badan penarafan antarabangsa seperti Fitch dan Moody’s memberi kita penarafan minimum A. Hutang Kerajaan Persekutuan pula tidak melebihi a self imposed limit of 55%, dan tahun lepas ia berada pada tahap 50.8 peratus daripada KDNK.

Insya-Allah, pertumbuhan ekonomi yang stabil dah kukuh ini, akan terus membawa kepada lebih banyak pertumbuhan pekerjaan, peluang perniagaan, dan peningkatan pendapatan.

Kalau di Negeri Perak sahaja, dalam RMK-10 negeri ini telah mencatatkan antara pertumbuhan tertinggi di Malaysia dengan kadar sebanyak 5.8 peratus, syabas!

Insya-Allah, di bawah Rancangan Malaysia ke-11 yang sedang kita laksanakan ini, kecemerlangan dan hubungan kepimpinan negeri dengan penjawat awam ini dapat diteruskan agar dapat mencapai sasaran pertumbuhan yang kukuh iaitu pada kadar 5.9 peratus, diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Saya juga berkongsi bahawa Kerajaan hari ini adalah Kerajaan yang amat mengambil berat akan kebajikan penjawat awam di Malaysia.

Bukan seperti pembangkang yang tak habis-habis mengugut untuk mengecilkan jumlah penjawat awam. Malah ada yang kata perkhidmatan awam di Malaysia hanya memerlukan 400 ribu orang sahaja, bermakna lebih separuh jumlah penjawat awam akan kehilangan kerja!

Lebih daripada itu, mereka juga mengeluarkan kata-kata kesat, ada yang gelar penjawat awam kucing kurap, monyet, deadweight, bloated. Inikah mereka yang boleh kita harapkan nak pimpin negara? Apa nasib penjawat awam kalau mereka ini yang terajui kepimpinan?

Bukan seperti mereka ini, saya beri jaminan kepada yang hadir dan juga kepada semua penjawat awam, bahawa Kerajaan Barisan Nasional tidak akan mengecilkan jumlah penjawat awam Malaysia!

Kerajaan hari ini telah dan akan terus menghargai penjawat awam di Malaysia sama ada yang masih berkhidmat dan juga yang telah pencen.

Antara lain, Kerajaan saban tahun meneruskan tanggungan penjawat awam, daripada RM22 bilion pada 2003, kepada RM79 bilion pada tahun lalu.

Kerajaan juga berterusan memberi bonus, bayaran khas dan insentif, malah, dalam Bajet 2018 yang baru saya bentangkan, saya umum bayaran khas sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam persekutuan. RM1,000 telah pun dimasukkan, dan baki RM500 pada hari raya nanti, Insya-Allah.

Selain itu, pelbagai inisiatif juga saya umumkan antaranya penambahbaikan skim perkhidmatan awam, wanita mengandung dan suami boleh pulang kerja lebih awal, kenaikan pangkat berasaskan masa kali kedua untuk Kumpulan Pelaksana, Waktu Kerja Fleksi bagi pakar perubatan, penambahan Waktu Kerja Berperingkat dan juga pemberian Cuti Tanpa Rekod untuk menunaikan umrah.

Kerajaan juga menghargai keringat dan jasa bakti mereka yang telah bersara. Para pesara pun dapat bantuan dan bayaran khas ini setiap tahun, malah bermula 2013 pencen dinaikkan 2% setiap tahun.
Terbaru, dalam Bajet 2018, saya juga menetapkan pencen terendah kepada RM1,000 untuk mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun, dan juga bahawa penjawat awam yang dibersarakan atas sebab kesihatan akan menerima faedah persaraan seolah-olah pegawai berkhidmat sehingga umur persaraan wajib.



Manalah mungkin – sekiranya kita ini negara bankrap seperti yang dicanangkan oleh pembangkang – mampu kita berterusan bayar gaji penjawat awam RM79 bilion, atau pencen, elaun bersara dan ganjaran sebanyak RM24 bilion?

Bukan itu sahaja, Kerajaan juga menyediakan PPA1M buat penjawat awam. Melalui PPA1M ini, harga rumah ditawarkan adalah dalam lingkungan RM90 ribu hingga RM300 ribu iaitu 20-30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran, di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara. Di Perak sahaja, kita akan bina 12,000 unit PPA1M untuk para penjawat awam!

Malah baru-baru ini diumumkan, seorang anak pesara Kerajaan pun layak untuk beli rumah PPA1M ini, meskipun anaknya itu tidak bekerja dengan Kerajaan. Ini dapat membantu golongan muda terutamanya untuk memiliki kediaman sendiri.

Sebagai penutupnya, sekali lagi saya ingin nyatakan bahawa para penjawat awam, usahlah risau, tak perlu lagi ragu-ragu, tak payah pandang kepada orang lain, pandang kepada saya – Najib Razak dan Barisan Nasional – Kerajaan hari ini yang telah dan akan terus menjaga, membela dan menghargai para penjawat awam.

Lebih daripada itu, Kerajaan hari ini, yang bersama-sama dengan anda semua dan hasil kerja keras kita bersama, telah mempunyai track record yang sangat cemerlang.

Hubungan antara penjawat awam dan pentadbiran negara selama ini cukup serasi, dan kita telah bersama-sama mencapai pelbagai kejayaan.

Jadi usahlah kita merosakkan hubungan itu, sebaliknya kita perlu terus kekalkan agar lebih serasi, supaya lebih banyak kejayaan yang dapat kita capai bersama, sebab pada akhirnya matlamat dan impian kita serupa, melihat negara Malaysia kita terus maju dan berjaya, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan!



0 comments:

Post a Comment