KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menegaskan yang mereka tidak pernah mengenakan caj kepada mana-mana individu yang datang untuk mengadu masalah kepada mereka termasuk dalam kes-kes yang berkaitan dengan ceti haram atau ah long.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, selagi masalah pengadu boleh diselesaikan sendiri oleh PPIM, mereka akan terus berurusan dengan mana-mana pihak seperti syarikat-syarikat kewangan dan bank bagi membolehkan kesulitan yang dialami pengadu dapat dipermudahkan.
Namun, katanya, terdapat permasalahan yang rumit seperti kes ah long dan kes yang melibatkan undang-undang di mana pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan daripada pihak luar khususnya peguam bagi membantu pengadu.
Menurut Nadzim, PPIM mempunya panel peguam contohnya Biro Undang-Undang mereka di mana terdapat 25 orang peguam dari lima kumpulan peguam yang berbeza.
” Bila melibatkan perkhidmatan guaman, sudah tentu adakalanya melibatkan kos tetapi PPIM sentiasa mengingatkan panel kita agar mengenakan caj yang rendah, lebih rendah daripada caj yang dikenakan peguam luar.
” Dalam kes besar macam kes ah long, ia bukan mudah, ia rumit, nak kena berunding, nak kena itu nak kena ini, ada agensi yang memang pakar dalam mengendalikan perkara ini, jadi kita syorkan pengadu pada agensi terlibat, mereka caj dalam 10 persen sebab nak bayar staf mereka, kos minyak dan sebagainya. Ada juga agensi lain yang buat kes macam ni, mereka caj lagi tinggi berbanding yang bersama dengan kita.
” Kita ni membantu memudahcara, banyak juga kes yang kita kendalikan sendiri pun tanpa perlu agensi lain, cuma kalau benda-benda yang kita tak mampu selesaikan, kita syorkanlah agensi-agensi sebegini, caj itu agensilah yang kenakan, PPIM tak ambil satu sen pun,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di sini malam ini. Turut hadir penasihat media PPIM, Tuan Asmawi Tuan Umar.
Nadzim diminta mengulas dakwaan empat bekas kakitangan PPIM dalam sidang media khas mereka yang mendedahkan modus operandi yang didakwa digunakan oleh persatuan itu untuk menjana keuntungan hasil pembayaran pinjaman ah long.
Wakil kumpulan itu, Syed Alwi Al Hadad Syed Mustaffa mendakwa, PPIM menggunakan kaedah menetapkan jumlah pinjaman terlebih dahulu dengan ah long namun mengenakan pembayaran lebih tinggi kepada pengadu atau mangsa ah long. Sidang media tersebut untuk membersih nama selepas Pengarah UTK PPIM, Yusuf Azmi membuat laporan ke atas mereka pada Isnin lalu. Namun mereka menjelaskan kes itu tiada kaitan dengan Nadzim dan PPIM Keramat.
Dalam laporannya itu, individu-individu terbabit didakwa telah mencuri dokumen-dokumen penting berkaitan ah long dan peribadi di syarikat konsultan PPIM yang diketuai Yusuf dengan cara menceroboh pejabat tersebut.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Nadzim berkata, beliau perlu mendapatkan laporan lanjut mengenainya kerana banyak perkara yang perlu diperhalusi apatah lagi ia tiada kaitan secara langsung dengan PPIM.
” Saya pun tertanya-tanya bagaimana semua ini boleh berlaku, yang pasti dalam kes wanita yang mendakwa persatuan tidak telus menguruskan bayaran pinjamannya kepada ah long itu, ia diuruskan oleh syarikat Risk Group Consultancy kendalian Yusuf, bukannya PPIM.
” Pengadu ada berjumpa dengan saya dan menyuarakan rasa ‘tidak gembira’ dengan apa yang terjadi. Jadi saya kata saya perlu tunggu laporan dulu apapun kerana ada rakaman CCTV, orang bawa keluar fail dan macam-macam lagilah.
” Yang pasti walaupun ramai pihak menunding jari dan mendakwa PPIM ini dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan termasuk dalam isu yang tak ada kena mengenai dengan kami seperti dalam kes wanita berkenaan, ia tidak akan mematahkan semangat dan usaha kami untuk memperjuangkan nasib pengguna di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama seseorang pengadu,” tegasnya. – theRakyat.com
0 comments:
Post a Comment