MELAKA: Kerajaan meluluskan permohonan penambahan keanggotaan Unit Tindakan Khas (UTK) dan Komando VAT 69 yang dipohon Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Bagaimanapun, katanya, jumlah keanggotaan bagi kedua-dua pasukan itu belum dimuktamadkan.
Beliau berkata, proses bagi permohonan penambahan anggota pasukan keselamatan itu akan membabitkan pihaknya, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Kita akan proses (permohonan). Memang akan berlaku penambahan anggota sepertimana yang dipohon oleh PDRM.
"Ia baru diumumkan semalam, mungkin dalam tempoh terdekat akan diluluskan, namun jumlah muktamad (penambahan anggota) belum tahu lagi. Kita akan lihat kepada permohonan," katanya selepas merasmikan Muzium Kastam Tan Sri Dr Ali Hamsa di Banda Hilir, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T Subromaniam.
Akhbar hari ini melaporkan, penambahan keanggotaan UTK dan VAT 69 sudah mendapat kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, dilaporkan berkata, UTK dan VAT 69 ketika ini mempunyai keanggotaan lebih 400 orang dan berharap penambahan itu akan dibuat dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.
Sementara itu, Ali berkata pihaknya akan mempertimbangkan kos peruntukan bagi penyelenggaraan muzium berkenaan susulan penjenamaan semula dari segi penambahan ruang pameran.
"Dari segi penjenamaan semula muzium ini, kita akan kekalkan dari segi penyelenggaraan dan mungkin akan lihat dari segi peruntukan untuk perkara itu," katanya.
Info Muzium Kastam Tan Sri Dr Ali Hamsa
* Bangunan asal adalah gudang penyimpanan barang dagangan seperti beras, gula, rempah ratus dan seramik ditadbir British
* Dijadikan Muzium Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 25 Ogos 2006
* Lebih 200 koleksi pameran berharga seperti mesin penimbang, buku kod tarif bagi tugas percukaian dan perkastaman
- Berita Harian -
0 comments:
Post a Comment