Polis tiada kuasa pecat ahli politik
KUALA
LUMPUR 14 Mac - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor
hairan dengan dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya polis adalah
pihak yang mendorong beliau memecat bekas Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambil menjelaskan tidak tahu apa
motif bekas Perdana Menteri itu melontarkan dakwaan sedemikian, beliau
berkata pihak polis tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk
memecat mana-mana ahli politik.
“Saya tidak tahu kenapa dia berkata begitu dan
saya tidak dapat selami pemikirannya. Polis tiada kuasa dari segi
undang-undang untuk melakukan pemecatan kepada sesiapa pun,” katanya
kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam
temu bual eksklusif bersama akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily
keluaran Ahad lalu, Dr. Mahathir menuduh polis yang mendorong dia
sebagai Perdana Menteri untuk memecat timbalannya atas kesalahan rasuah
dan liwat pada 1998.
Bekas Perdana Menteri
itu berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain terpaksa mengambil
tindakan terhadap Anwar setelah polis mengemukakan semua bukti
kepadanya.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim
berkata, setiap pelantikan dan pelucutan jawatan Timbalan Perdana
Menteri bukan sesuatu yang mudah kerana ia hanya melalui cadangan
Perdana Menteri dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
“Pelantikan
dan pemecatan seorang Timbalan Perdana Menteri bukan seperti memetik
buah kelapa, semuanya dicadangkan oleh Perdana Menteri ketika itu.
“Polis
hanyalah sebuah jabatan kerajaan yang kuasanya tertakluk kepada
Suruhanjaya Perkhidmatan Polis sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan yang menggariskan kuasa-kuasa polis dan apa yang boleh
dilakukan oleh polis,” katanya.
Sementara
itu, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib
menyifatkan Dr. Mahathir sebagai individu yang tidak bertanggungjawab
selepas menuduh pihak polis mendorong beliau memecat Anwar.
Muhammad
mendakwa, beliau mendengar sendiri bagaimana bekas Perdana Menteri itu
pernah berkata dia menemubual mangsa pada ketika itu dan langsung
tidak pernah menyebut tentang campur tangan polis berhubung kes
berkenaan.
“Saya nak timbulkan sesuatu, kalau
tak silap semalam Dr. Mahathir cuba mengubah persepsi, dia kata yang
tangkap Anwar ini, yang pergi dakwa Anwar ini semua (adalah kerja) polis
bukan dia, jadi terang-terang depan rakyat satu Malaysia ini,” katanya
dalam forum Anda Tanya Kita Jawab bertajuk Memahami Mahathirism di
Facebook UMNO Online.
Ketua Penerangan UMNO,
Tan Sri Annuar Musa turut senada apabila mengakui Dr. Mahathir bercakap
perkara sama ketika mengadakan pertemuan dengan beliau di pejabatnya.
“Saya
secara empat mata, lepas (Anwar) kena pecat saya balik, saya pergi
jumpa dia dalam pejabat, kita bercerita dia kata sama seperti
diperkatakan Muhammad.
“Secara empat mata
saya bertanya kenapa Datuk Seri pecat Anwar sebab semalamnya kita baharu
habis mesyuarat Kabinet tapi tiba-tiba keesokan harinya Datuk Seri
(Anwar) kena pecat lepas itu saya pergi pejabat dia dan dia tak sebut
ketua polis pun,” katanya.
0 comments:
Post a Comment