Wednesday, 14 March 2018

Tan Sri Abdul Rahim Bin Mohd. Noor - Ketua Polis Negara ke-5 (1994 - 1999)



Tan Sri Abdul Rahim bin Mohd. Noor dilahirkan pada 6 Jun 1943 di Serkam, Melaka. Beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang kelima pada 16 Januari 1994. Antara jawatan yang pernah disandang :-
  • Pegawai Personel Cawangan Pentadbiran Bukit Aman - 9 Februari 1970
  • TPP Perkhidmatan Pentadbiran Bukit Aman - 1 Disember 1973
  • Supt. Perjawatan Pentadbiran Bukit Aman - 1 Oktober 1975
  • PP Tatatertib Pentadbiran Bukit Aman - 18 April 1977
  • Ketua Polis Daerah Pentadbiran Melaka Tengah - 28 Disember 1977
  • Komandan Latihan/Maktab Polis, Kuala Kubu Bharu - 18 Januari 1979
  • Penolong Pengarah Pentadbiran/Pengurusan - 1 September 1981
  • Pegawai Turus Cawangan Khas Bukit Aman - 3 Januari 1984
  • Ketua Polis Negeri Selangor - 21 Julai 1984
  • Pesuruhjaya Polis Sabah - 27 November 1985
  • Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman - 20 Januari 1986
  • Timbalan Ketua Polis Negara - 14 Jun 1989
  • Ketua Polis Negara - 16 Januari 1994

    Sumber - rmp.gov.my
    -----------------------------------------------------------------

    [click!] Artikel Menarik - Tan Sri Rahim Noor hairan dakwaan Dr. Mahathir

    Artikel Utusan - 25/03/1998KEGAWATAN ekonomi yang melanda rantau Asia termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan juga Singapura, mengakibatkan rakyat asing gawat untuk memasuki negara ini demi mencari sesuap nasi.

    Kononnya Malaysia masih unggul sebagai syurga pencari kerja.
    Jumlahnya telah mencapai berpuluh ribu dan menunggu peluang untuk memasuki negara ini.
    Penghantaran pulang secara berperingkat-peringkat sebenarnya tidak menyelesaikan masalah isu pendatang tanpa izin kerana yang membanjiri negara ini lebih banyak daripada yang dihantar pulang.

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini dibebani tugas dan tanggungjawab membanteras pendatang tanpa izin telah bertindak tegas dengan mencadangkan beberapa langkah termasuk penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan hukuman sebat di samping cadangan mewujudkan mahkamah khas.

    ''Polis terpaksa bertindak cepat dan berkesan bagi memastikan mereka tidak datang atau kembali ke sini kerana kehadiran pendatang tanpa izin akan membawa lebih banyak masalah kepada negara.

    ''Sebab itu juga kita perlu fikirkan cara yang terbaik dan berkesan kerana apa juga tindakan, akhirnya akan wujud satu keadaan di mana pengambilan pekerja asing di negara ini mengikut prosedur yang betul dengan persetujuan dua kerajaan iaitu Malaysia dengan negara jiran,'' kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

    Adalah dianggarkan antara 10,000 hingga 12,000 rakyat Indonesia sedang menunggu peluang untuk memasuki negara sejak kebelakangan ini dan jumlah meningkat secara mendadak berbanding bilangan 3,000 hingga 4,000 orang sahaja beberapa minggu lalu.

    Lebih memeranjatkan, mereka akan datang secara beramai-ramai (tentunya tanpa dokumen dan tanpa melalui proses yang sah) setelah berkumpul di kawasan Pulau Bengkalis, Riau, Pulau Batam Tengah, Lombok dan beberapa lokasi lain di negara jiran.

    Tujuan mereka ialah, kawasan daratan paling hampir dalam mengharungi Selat Melaka ke negara ini, dan sudah tentu tumpuannya seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
    Menurut Abdul Rahim, pendatang tanpa izin itu telah bergolok gadai harta masing-masing demi membayar harga yang ditetapkan oleh tekong untuk sampai ke negara ini.

    ''Bagi mereka (pendatang) langkah itu adalah pelaburan kerana apabila dapat bekerja tiga empat tahun di sini... itu sudah cukup lumayan,'' katanya sambil memberitahu, sebenarnya mereka telah tertipu.

    Tetapi dengan tindakan segera polis, banyak pendatang tanpa izin yang berjaya diberkas sebaik memasuki negara ini atau selepas tiga empat hari berada di sini.

    Apabila dihantar pulang, mereka malu untuk kembali ke kampung dan tentunya bertekad untuk datang semula ke Malaysia walau apapun terjadi.

    Beliau berkata demikian dalam satu temuramah khas sempena Peringatan Hari Polis yang ke-191 di Pejabatnya di Bukit Aman .

    Pencari kerja rakyat asing di negara ini terdiri daripada pelbagai bangsa dengan jumlah terbanyak ialah dari Indonesia dan Bangladesh di Semenanjung manakala rakyat Filipina di Sabah.

    Bagi menanggani isu ini, Abdul Rahim mengambil iktibar daripada hikayat 'Singapura dilanggar todak' di mana pokok-pokok pisang (sebagai sumber dalaman) dijadikan benteng pertahanan dari serangan ikan todak.

    Maka, ketika terlalu banyak pendatang tanpa izin membolosi negara ini, beliau berkata, sumber dalaman polis ialah para anggota polis terutama yang bertugas di kawasan sempadan, sebagai benteng utama.

    Dari peringkat anggota biasa, pegawai penjaga balai (OCS) di balai-balai yang berhampiran sempadan negara dan Ketua Polis Daerah, tentunya mereka lebih arif dan menjadi sistem amaran awal pihak berkuasa di samping menjadi mata dan telinga mengesan serta memperolehi maklumat mengenai pendatang tanpa izin.

    Menjelaskan beberapa cadangan polis, Abdul Rahim berkata, cadangan mewujudkan mahkamah khas, sebenarnya bukan di luar ruang lingkup sistem mahkamah yang ada.
    ''Ia lebih kepada mahkamah insitu contohnya, agar prosiding mahkamah dapat dilaksanakan dengan segera dan hukuman dijalankan dengan cepat serta berkesan... kerajaan tidak perlu menanggung kos yang lebih seperti makanan dan tempat tahanan.

    ''Peguam Negara pun sependapat dengan kami dan sedia bersama-sama mencari jalan bagi menyelesaikan masalah itu,'' ujarnya.

    Rasional disebalik penggunaan ISA, Abdul Rahim memberitahu, tekong ataupun mereka yang membantu kemasukan pendatang tanpa izin sebenarnya boleh dianggap pengkhianat negara.
    ''Saya menganggap mereka sebagai durjana, kerana mereka menikmati keuntungan berlipat ganda kerana membawa masuk rakyat asing tanpa mengikut prosedur yang betul... tambahan pula ada yang berjaya memperoleh kad pengenalan merah.

    ''Saya tidak fikir tekong-tekong ini mencari makan dengan membawa masuk rakyat asing... tetapi lebih dari itu, dan ISA adalah tindakan yang sewajarnya,'' tegas beliau.

    Mereka yang ditahan di bawah ISA, boleh ditahan selama 60 hari dan dari situlah polis boleh menyiasat dengan terperinci bagi membongkar kegiatan membawa masuk rakyat asing ini.
    Menyentuh mengenai komen masyarakat bahawa polis kini dibebani dengan tugas yang lebih, Abdul Rahim berkata, ''Sememangnya dari kacamata masyarakat, isu pendatang tanpa izin ini membebankan tetapi sebagai satu-satunya agensi penguatkuasa utama negara, kita harus menerima tugas itu dengan penuh tanggungjawab.

    ''Setiap anggota dan pegawai telah dilatih, memahami dan mampu menjalankan tugas tanpa mengira masa,'' ujarnya.

    PDRM kini mempunyai lebih 80,000 anggota dan dilengkapi dengan peralatan canggih serta jaringan komunikasi dan logistik yang menyeluruh.

    Berikutan itu tambah beliau, yang perlu sekarang ialah jentera PDRM digerakkan oleh kepimpinan yang mempunyai semangat tinggi dalam menyelia pelaksanaan tugas setiap anggota polis.

    Abdul Rahim memberitahu, daripada tangkapan-tangkapan yang banyak sejak bulan lalu, bukti yang diperolehi menunjukkan bahawa negara ini mudah dibolosi.

    ''Ini kerana wujudnya sendiket yang membawa para rakyat asing secara gelap dan cara itulah paling digemari oleh para pendatang, menyebabkan cara yang sah tidak disukai dan tidak boleh bergerak.

    ''Walaupun cara gelap lebih menyulitkan dan mahal dengan pelbagai bayaran dan kerenah, tetapi cara ini lebih cepat dan efisien.

    ''Para majikan di negara ini pun satu hal... mereka lebih suka pekerja asing yang tidak sah kerana murah dan senang mengendalikan mereka,'' katanya sambil memberitahu, unsur-unsur eksploitasi menyebabkan majikan bertindak sedemikian rupa.

    Menurutnya, para majikan boleh mengeksploitasi pekerja asing tanpa izin melalui banyak cara berbanding pekerja asing yang sah kerana perlu bayar pelbagai bayaran seperti perubatan, cuti, pengajian dan kebajikan.

    Beliau menambah, terdapat juga majikan yang membuat ugutan atau surat layang kepada pekerja asing tanpa izin yang berkerja dengan mereka, kononnya pihak berkuasa akan membuat siasatan di kilang itu, hanya untuk mengelak daripada bankrap.

    Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim memberitahu, PDRM juga tidak dapat lari daripada 'kepayahan' ekoran pemotongan belanjawan berikutan masalah ekonomi negara.

    ''Kami terima dengan hati terbuka untuk berjimat cermat melalui dasar dan ketetapan yang telah digariskan oleh kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri.

    ''Namun yang penting, apa yang perlu bagi kita ialah mengorak langkah wajar dan sesuai dengan keadaan sekarang, agar kita boleh melaksanakan tugas-tugas dalam keadaan berjimat dengan tidak memudaratkan kepentingan masyarakat, ketenteraman awam, kestabilan dan keharmonian dalam negara,'' jelasnya.

    Mengenai isu persempadanan Malaysia dengan negara jiran, Abdul Rahim berkata, kerjasama dengan polis Thailand kini amat bagus walaupun di sesetengah tempat kedua-dua pihak berkuasa tidak sependapat.

    Tetapi ujarnya, yang jelas, banyak isu telah dapat diselesaikan seperti isu Al-Arqam dan kemasukan beramai-ramai rakyat Bangladesh ke negara ini melalui negara jiran tersebut.

    Menurutnya lagi, kerjasama dan hubungan dengan polis Singapura juga amat baik. Beliau berkata, PDRM dan polis Filipina kini telah mengorak langkah mewujudkan kerjasama terutama dalam menanggani kemasukan rakyat negara itu ke Sabah.

    ''Saya rasa dalam dua tiga tahun lagi hubungan dan kerjasama kedua-dua negara akan menjadi baik,'' ujarnya.

    Menurutnya, polis di seluruh dunia mempunyai tema yang sama iaitu pencegahan jenayah, keselamatan awam, menyelamatkan nyawa dan keamanan dalam masyarakat.

    Jadi bagi mewujudkan hubungan antara negara-negara jiran tambah beliau, bukannya kedua-dua pihak tidak ada komitmen tetapi di sebabkan budaya, persepsi kepada masalah yag dihadapi serta cara kerja yang berbeza dan ia masih boleh diatasi melalui perbincangan.

    Bersempena dengan Peringatan Hari Polis kali ini, Abdul Rahim menasihatkan setiap pegawai dan anggota polis agar lebih cekap melalui latihan serta berhati-hati ketika menjalankan tugas. Inilah ragam hidup sebagai anggota polis katanya dan baginya banyak ruang yang boleh diperbaiki melalui penyeliaan rapi.

    ''Penyeliaan yang cekap dari peringkat bawah amat perlu kerana apapun langkah untuk kecemerlangan, tidak akan mendatangkan hasil kerana akhirnya rancangan itu akan jatuh punah jika tanpa penyeliaan.
    ''Hasil daripada penyeliaan, kerja berat jadi ringan dan yang ringan akan melayang-layang,'' katanya.
    Oleh: MOHD. SHAHAR AKASHAH

0 comments:

Post a Comment