Saturday 31 March 2018

Hospital Langkawi ikut SOP: Pengarah negeri


LANGKAWI - Sebuah video yang ditularkan oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan di Hospital Langkawi hari ini tidak menunjukkan sebarang kesilapan prosedur yang dijalankan oleh petugas hospital berkenaan.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail dalam kenyataan berkata pengendalian kes oleh petugas dalam video berkenaan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, lelaki yang merakam video itu telah membawa isterinya yang hamil mengandung ke hospital itu pada jam 2.20 pagi dan terus diberikan layanan dan pemeriksaan awal oleh jururawat terlatih bertugas.

“(Hasil) pemeriksaan awal, saya difahamkan, ia bukan merupakan satu kes kecemasan (dan tidak memerlukan tindakan segera oleh doktor pakar),” katanya.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan dalam video itu memarahi jururawat berkenaan ekoran diminta menunggu kerana pakar perbidanan dan sakit puan sedang mengendalikan kes seorang ibu hamil yang mengalami masalah pendarahan dan memerlukan pembedahan segera.



Dalam pada itu, Dr Norhizan memuji jururawat yang berhadapan dengan kerenah lelaki berkenaan yang bertindak merakam video dan mengeluarkan kata-kata yang keterlaluan terhadapnya.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat terhadap lelaki berkenaan dan pihak Hospital Langkawi sedang menyediakan laporan terperinci berhubung kes itu.

Beliau turut meminta orang ramai di sini untuk memahami sistem tugasan pakar yang dipanggil bertugas selepas waktu pejabat yang diguna pakai di semua hospital di negara ini. - Bernama

0 comments:

Post a Comment