Thursday 13 September 2018

Pinda pertuduhan, 20 tahun jadi 3 tahun



JOHOR BAHRU: Seramai 40 ahli kumpulan geng Jee Jin Tong dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan pindaan menjadi ahli kumpulan geng itu, awal tahun ini.

Di hadapan Majistret Azureen Sahirah Saufee Afandi, seramai 25 tertuduh lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah terhadap mereka.

Sementara itu, seramai 15 tertuduh lelaki lain turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa menjadi anggota geng Jee Jin Tong yang juga satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang di Jalan Permas, Bandar Baru Permas Jaya di sini, pada 14 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai 35 tertuduh dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.
Mereka adalah Seow Hwee Kiang, Lee Boon Hui, Fung Ka Siong, Chua Kah Tat, Mah Jia Fei, Lai Kah Fei, Wilson Chua Yue Hua, Lim Wen Hao, Eugene Chiam Tow Shen, Chan Chun Fei, Yap Boon Chuan dan Benny Chang Xin Hao.

Turut dibenarkan jamin, Lau Fook Soon, Liew Yun Choy, Jacky See Jiin Long, Ng Zhen Lun, Ng Soon Kiat, Lim Heng Kiaw, Wong Jin Wei, Dinesh Balakrishnan, Sau Kah Kwee, Ong Hwee Hau, Lew Kai Yann, Kok Kat Ting dan Koh Xian Ming.

Selain itu, Lim Thiam Poon, Eric Mah Wai Soon, Tan Hong Chai, Tan Chee Hong, Leong Wen Hao, Tan Xiang Wei, Koh Suei Chuan, Lee Choon Seng, Jimmy Seah Thian Heng dan Wong Siau Boon.

Baki lima orang iaitu Gan Jia Ji, Yip Kah Hoo, Fong Ling Chiow, Leong Zhong Hen dan Woon Kian Hui tidak dibenarkan sebarang ikat jamin memandangkan mereka masih menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mahkamah menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, pada prosiding pagi tadi, pihak pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Roslan Mat Nor dan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi’uddin, mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap semua tertuduh di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pendakwaan dan memerintahkan pertuduhan pindaan itu disebut di Mahkamah Majistret di sini, memandangkan pertuduhan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Majistret.

Sebelum ini, semua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Jin Jee Tong yang mana pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Mereka yang berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan, ketika itu tidak dibenarkan sebarang ikat jamin dan tiada pengakuan direkodkan.

Antara peguam yang mewakili tertuduh adalah Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Datin Freda Sabapathy, Sukaimi Mashud dan Mohd Daud Ismail.

0 comments:

Post a Comment