Thursday 31 January 2019

Menteri bincang dengan polis, batal diskaun saman



KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan
mengadakan pertemuan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi mencari
titik penyelesaian berhubung isu diskaun saman trafik.

Anthony Loke berkata, perbincangan itu akan diadakan selepas sambutan
Tahun Baharu Cina.

"Tak mengapalah. Dia (PDRM) tidak kata tak setuju. Lepas Tahun Baharu
Cina ini kita bincang," katanya pada sidang media selepas mengedarkan
pek cenderahati kepada 1,000 penumpang tren Keretapi Tanah Melayu Berhad
(KTMB) sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

Anthony Loke mengulas mengenai kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan dan
Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias yang dilaporkan
berkata, PDRM tidak dapat mengumpul hasil saman sekiranya kerajaan
menamatkan diskaun saman berikutan tidak ramai orang yang berminat
membayarnya.


Selasa lepas, Anthony Loke mencadangkan tiada sebarang tawaran diskaun
akan diberikan ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan JPJ bagi
kesalahan lalu lintas.

Anthony Loke juga bercadang untuk berbincang dengan Kementerian Dalam
Negeri (KDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya saman trafik dan
saman dikeluarkan PBT tidak menawarkan sebarang diskaun.

Dalam perkembangan lain, Anthony Loke berkata, 116,065 atau 89 peratus
daripada 129,822 tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) telah dijual
bagi perjalanan bermula hari ini hingga 10 Februari dari Lembah Klang ke
utara dan pantai timur.

"Bagi memenuhi permintaan ramai, empat perkhidmatan ETS tambahan bagi
sektor KL Sentral-Ipoh-KL Sentral dan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral
akan mula beroperasi pada 1 hingga 4 Februari ini.

"Sebanyak 9,984 tiket ETS tambahan turut disediakan dan 7,158
daripadanya sudah terjual," katanya.

Anthony Loke berkata, bagi perkhidmatan KTM Intercity, 11,303 atau 71
peratus daripada 16,000 tiket yang ditawarkan untuk perjalanan bermula
hari ini hingga 10 Feb juga dijual.

"Manakala bagi Shuttle Tebrau iaitu perjalanan dari Johor Bharu ke
Singapura, 71,869 daripada 109,120 tiket yang ditawarkan telah dijual
juga bagi tempoh perjalanan yang sama," katanya. - Bernama

1 comment:

  1. cewah....dengan bongkak dan riak nya cakap xd diskaun saman....bangsat punya menteri carut ni...."polis diraja malaysia" bukan "polis dimenteri malaysia" ye....jangan jadi musibat sangat....

    ReplyDelete