JOHOR BAHRU - Tindakan sewajarnya akan diambil ke atas anggota atau
pegawai polis yang didapati melanggar peraturan larangan merokok di
premis makanan yang mana video melakukan perbuatan itu telah tular di
dalam laman media sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, berikutan itu,
pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, pihaknya juga telah memaklumkan perkara itu kepada pengarah
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standart (JIPS) untuk diambil tindakan
bagi mengenal pasti anggota atau pegawai yang terlibat.
"Ini disebabkan mereka memakai pakaian uniform dan kerajaan pula telah
menguatkuasakan larangan merokok, maka tanda larangan merokok itu perlu
dipatuhi semua pihak termasuk pegawai dan anggota polis juga.
"Perbuatan ini amat tidak beretika sama sekali kerana mereka telah
melanggar tindakan yang tidak boleh dilakukan di tempat terbuka pada
masa ini.
"Di Semenanjung, larangan ini telah dikuatkuasakan, tetapi di Sabah dan
Sarawak on hold (ditahan). Kalau mereka (anggota atau pegawai polis)
yang terlibat itu di Semenanjung, maka tindakan sewajarnya akan
diambil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang video tersebut
selepas menghadiri mesyuarat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor,
di sini, hari ini.
Video tersebut yang berdurasi lapan saat itu memaparkan seorang anggota
polis memegang rokok ketika berada di premis makanan yang merupakan
kawasan larangan merokok.
Dipercayai video itu diambil di kawasan premis makanan di Semenanjung
Malaysia kerana jelas terdapat tanda larangan merokok.
- SINAR HARIAN -
0 comments:
Post a Comment