KUALA LUMPUR: Polis melepaskan lima das tembakan dalam usaha memberhentikan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipandu seorang lelaki yang cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan polis berhampiran Terowong Bukit Kiara di sini, petang tadi.
Dalam
kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, pemandu 4WD itu pada mulanya
diarah berhenti oleh anggota pasukan polis peronda (MPV) selepas dilihat
dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kuching, di sini.
Bagaimanapun,
suspek sebaliknya terus memecut masuk ke arah Bangsar seterusnya masuk
ke Lebuhraya LDP hala ke Damansara dan masuk ke Terowong Bukit Kiara.
Ketika
di dalam terowong, suspek beberapa kali menghimpit kenderaan MPV dan
memandu secara berbahaya sebelum membaling pemotong besi ke arah
kenderaan polis.
Ketua
Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy, berkata
anggota MPV kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar
kenderaan suspek menyebabkan 4WD itu terlanggar pembahagi jalan dan
berhenti.
"Suspek
cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan ketika anggota kita cuba
menahan suspek sehingga memaksa polis melepaskan tembakan menggunakan
'taser gun' (senjata renjatan elektrik) ke arahnya.
"Pemeriksaan
ke atas badan suspek kemudian menemui ketulan kristal disyaki dadah
jenis eramin 5," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya
lagi, suspek yang berusia lewat 30-an mengalami cedera ringan di muka
dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk tindakan susulan.
"Semakan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan siasatan masih diteruskan," katanya.
- BERITA HARIAN -
0 comments:
Post a Comment