“MEMANG kematian anak saya agak meragukan, bukan seperti mangsa kemalangan jalan raya,” kata ibu tunggal, Salmah Abdullah, 47, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chuah di Port Dickson, hari ini.
Harian Metro Jumaat
lalu melaporkan Muhammad Najib Goh Abdullah meninggal dunia di Hospital
Tuanku Ja’afar Seremban pada 6.30 petang Khamis lalu selepas motosikal
ditunggang terbabas.
Ketika kejadian,
anak bongsu daripada empat beradik itu dikatakan keluar rumah pada 8
pagi untuk ke tempat kerjanya di kilang di D’Ambang Kota Lukut sebelum
ditemui terbaring dalam keadaan parah di tepi jalan di jalan kebun di
Kampung Jimah Lama di Port Dickson.
“Maklumat
saya terima dari majikan arwah yang menghubungi saya pada 12.30 tengah
hari mengatakan, arwah parah di kepala, patah leher dan tangan kanan
kerana motosikal milik syarikat yang ditunggangnya terbabas.
“Apa
yang meragukan saya, bagaimana motosikal ditunggang arwah tidak
mengalami kerosakan teruk sedangkan dia parah,” katanya yang membuat
laporan polis berhubung perkara itu.
Katanya,
dia berat hati kerana tidak mahu menyeksa jenazah arwah sekiranya kes
disiasat semula, tapi dalam masa sama berharap perkara yang meragukan
itu dapat dijawab.
“Jika arwah mangsa jenayah, biar polis tangkap pelakunya. Sebagai ibu, saya cukup sedih dengan kehilangan Najib secara mengejut.
“Semua
empat anak lelaki saya dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU)
lembam dan arwah satu-satunya anak yang mampu bekerja menyara kami
sekeluarga. Kini dia sudah tiada,” katanya.
Seorang
kenalan Salmah yang juga penduduk kampung, Azman Zit, 42, berkata, dia
hairan bagaimana polis dan pegawai perubatan forensik mengeluarkan
laporan mengatakan kematian Najib akibat parah kemalangan motosikal.
“Saya
berharap polis membuka kembali kertas siasatan dan menangkap pihak
bertanggungjawab jika arwah mangsa jenayah. Saya dan penduduk kampung
yakin arwah disamun dan dipukul, bukan kerana kemalangan.
“Buktinya
motosikal yang ditunggang mangsa tidak rosak malah dalam keadaan elok
sedangkan kecederaan Najib agak teruk,” katanya yang mengenali rapat
keluarga arwah.
Hasil bedah siasat,
polis melaporkan kematian Najib adalah kerana parah akibat kemalangan
dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara
itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed
berkata, pihaknya menerima laporan ibu mangsa pagi Khamis lalu meminta
polis melakukan siasatan lanjut berhubung keraguannya.
“Hasil bedah siasat, doktor forensik melaporkan mangsa meninggal selepas parah akibat kemalangan.
“Saya
difahamkan ibu mangsa berpuas hati ketika diberi penerangan oleh
pegawai perubatan dan tidak timbul isu lain,” katanya ketika dihubungi
tadi.
- HARIAN METRO -
0 comments:
Post a Comment