KUALA LUMPUR: Susulan peletakan jawatan oleh Sultan Muhammad V petang ini, Majlis Raja-Raja dijangka bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi memilih dan melantik Yang di-Pertuan Agong yang ke-16.
Laman
web rasmi Majlis Raja-Raja yang dikemas kini pada Jumaat lalu,
menyenaraikan beberapa prosedur dalam menentukan pemilihan Yang
di-Pertuan Agong baharu. Baginda mesti dipilih oleh Majlis Raja-raja
mengikut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga
Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja.
Jika
berlaku kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang
di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada
empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.
Penyimpan
Mohor Besar Raja-raja pula akan menyembah syarat kepada setiap Raja
bagi memohon perkenan sama ada Baginda berhasrat dicalonkan untuk
dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan
Agong.
Bagaimanapun,
Raja-raja yang tidak berhasrat dipilih hendaklah memaklumkan secara
bertulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan
diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa
itu.
Di
bawah kategori kelayakan seorang Raja atau Sultan dilantik sebagai Yang
di-Pertuan Agong, hanya Raja-Raja yang boleh dipilih selepas baginda
memberi perkenan untuk dipilih, hanya Raja-Raja yang boleh mengundi dan
jika seorang Raja tidak dapat berangkat dalam Majlis Pemilihan, seorang
Raja lain hendaklah dilantik oleh Raja itu dan layak mengundi sebagai
proksi.
Kebiasaannya,
Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan dipilih, tetapi peraturan
itu tidak lagi digunapakai selepas semua Raja dari negeri-negeri telah
dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Pusingan ini berakhir selepas
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dilantik sebagai Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-sembilan.
Selepas
itu senarai baharu yang dikenali sebagai senarai yang disusun semula
dan digunapakai sekarang adalah berpandukan kepada kekananan negeri yang
rajanya telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong (Yang di-Pertuan
Agong Pertama hingga Kesembilan) mengikut Jadual Ketiga Perlembagaan
Persekutuan.
Perlembagaan
juga memperuntukkan seorang Raja layak dipilih kecuali belum dewasa
atau telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Baginda
tidak berhasrat dipilih.
Kelayakan
juga hilang jika Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan secara undi sulit
bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi-fungsi Yang
di-Pertuan Agong disebabkan kelemahan akal atau tubuhnya atau kerana
apa-apa sebab lain. Ketetapan ini memerlukan undian sekurang-kurangnya
lima orang Raja.
Prosedur lain adalah seperti berikut
Prosiding pemilihan
• Apabila Majlis Raja-raja bersidang untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri tidak hadir walaupun mereka anggota Majlis. Pemilihan dibuat secara undi sulit dan Kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat yang sama. Kemudiannya dimasukkan dalam peti undi. Kertas undi dimusnahkan di hadapan Raja-raja sebaik sahaja keputusan undian diumumkan. (Dibakar/dirincih)
• Raja
yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai
calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih
untuk mengira kertas undi bersama-sama dengan Penyimpan Mohor Besar
Raja-raja. Dalam Mesyuarat Pemilihan itu, hanya Raja-raja, Penyimpan
Mohor Besar Raja-Raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja sahaja
yang terlibat dalam proses pemilihan.
Proses Pemilihan
•
Semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membekalkan satu
kertas undi setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya,
sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai/tidak
sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
•
Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang
mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan
Agong kepada Baginda.
• Jika Raja yang
berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperoleh undi
majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan
mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak
dipilih untuk diundi.
• Proses hanya
akan selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan
Agong. Selepas itu, Majlis akan mengisytiharkan Baginda sebagai Yang
di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.
Apabila
tamat urusan pemilihan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan Timbalan
Yang di-Pertuan Agong pula disempurnakan mengikut proses yang sama
pemilihan Yang di-Pertuan Agong.
Selepas
tamat kedua-dua urusan pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan
menghantar surat mengesahkan keputusan pemilihan itu secara bertulis
kepada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.
Perdana
Menteri akan mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai keputusan pemilihan
jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Yang
di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh
menjalankan fungsi rasmi selepas menandatangani sumpah jawatan dalam
satu istiadat di hadapan Majlis Raja-raja dan disaksikan oleh Ketua
Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan dengan ditandatangani saksi oleh dua
orang Raja yang dilantik oleh Majlis Raja-raja sebagai saksi-saksi.
- BERITA HARIAN -
0 comments:
Post a Comment