Saturday, 5 January 2019

Saya bukan 'barua' Cina, Rosyam Nor buat laporan Polis

“SAYA tidak pernah cakap ST Rosyam Mart adalah milik saya 100 peratus, tetapi orang tuduh saya jadi ‘barua’ Cina. Malah, maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut ditularkan sehingga saham saya juga dipertikaikan,” kata pelakon, penerbit dan usahawan, Datuk Rosyam Nor.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial mendakwa pemilik Sri Ternak Group, Datuk Ho Ah Chai adalah pemilik pasar raya berkenaan, manakala Rosyam hanyalah duta untuk menarik pelanggan.

Tampil menjelaskan isu berkenaan, kata Rosyam, sejak memulakan perniagaan itu pada Jun lalu, dia tidak pernah sekali pun mengaku bahawa dia adalah pemilik penuh ST Rosyam Mart.




“Saya bukan duta ST Rosyam Mart seperti yang didakwa, tetapi pemilik bersama kerana turut memegang saham 10 peratus. Saya juga tidak ada kaitan dengan pengurusan Sri Ternak Group (STG).

“Saya hanya bekerjasama dengan Pengarah Sri Ternak iaitu Datuk Raymond Ho yang turut memegang saham 89 peratus manakala adiknya, Alan Ho pula memiliki satu peratus dalam ST Rosyam Mart.

“Di Facebook saya, ada individu yang cakap saya ‘barua’ Cina. Perkara itu bukan hanya membuatkan saya sedih, tetapi keluarga juga terasa sama,” katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabat ST Rosyam Mart, Setiawangsa, hari ini.


Rosyam berkata, walaupun hanya memiliki saham 10 peratus, namun dia membenarkan penggunaan namanya kerana ia adalah syarat yang diberikan ketika dalam perbincangan awal untuk membuka ST Rosyam Mart.

Menurutnya, ini kerana sejak kecil dia memasang impian untuk memiliki pasar raya sendiri.
“Ketika dalam perbincangan untuk menubuhkan pasar raya, saya berikan syarat untuk gunakan nama sendiri. Kalau tidak setuju, saya tidak akan tandatangan persetujuan.

“Saya bukan daripada keluarga yang senang. Jadi, ST Rosyam Mart adalah membantu masyarakat yang menjalani kehidupan sukar.

“Alhamdulillah, walaupun ada isu tular mengenai pemilik sebenar ST Rosyam Nor tetapi kami masih menerima sambutan baik daripada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Rosyam turut mendedahkan dia sudah membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak mengenai tuduhan individu mengatakan dia sebagai 'barua' Cina dan kononnya Ah Chai adalah pemilik sebenarnya ST Rosyam Mart.

Malah, ada juga dalam kalangan netizen yang mendakwa Ah Chai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

Untuk rekod, ST Rosyam Nor dibuka 24 jam di Setiawangsa, dan pernah diserbu pelanggan kerana menjual ayam pada harga 88 sen seekor pada September lalu.

- HARIAN METRO - 

0 comments:

Post a Comment