Monday 21 January 2019

PGA tumpaskan penyeludupan rokok



BANTING - Cubaan menyeludup rokok bernilai lebih RM100,000 berjaya
dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah di Sungai Kampung
Sawah, di sini, malam tadi.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Tengah, Senior Asisten Komisioner
Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, kegiatan itu dikesan Pasukan Risik
Batalion 4 yang sedang membuat rondaan di kawasan berhampiran sungai
berkenaan pada jam 11.30 malam.

Menurutnya, dua lelaki dilihat dalam keadaan mencurigakan sedang
mengangkat sesuatu daripada sebuah bot yang berada di dalam sungai
berkenaan dan apabila cuba dihampiri pasukan rondaan, kedua-duanya
melarikan diri.


"Pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan menemui 36 kotak yang
mengandungi 50 karton rokok di dalam setiap kotak yang dianggarkan
bernilai RM108,000.

"Kesemua rokok berkenaan telah dirampas dan kes disiasat mengikut
Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Ghani berkata, menerusi Ops Nyah 1 di
Selangor dan Johor bagi tempoh 1 Januari sehingga hari ini, seramai 42
pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun
termasuk empat wanita dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan India ditahan.

Beliau berkata, antara lokasi serbuan adalah di sebuah rumah di Taman
Emas Merah, Pekan Nenas, Johor yang disyaki dijadikan lokasi transit Pati.

"Kita turut mengesan helah digunakan sindiket yang menggunakan van
pelancongan untuk membawa Pati di Jalan Besar berhampiran Pos Tanjung
Layang, Pulau Carey, Selangor," katanya.

- SINAR HARIAN -

0 comments:

Post a Comment