Thursday 31 January 2019

Lelaki ‘serang’ Guan Eng positif ganja, direman tiga hari



KUALA LUMPUR - Lelaki berusia 23 tahun yang ditahan kerana cuba
menyerang Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di tempat letak kereta Kompleks
Sukan Bukit Jalil di sini, malam tadi didapati positif ganja.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, lelaki
tempatan berasal dari Puchong itu direman tiga hari bagi mengenal pasti
motif kejadian.


“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek dapati dia positif ganja.

“Suspek kini direman tiga hari sehingga Sabtu ini. Kes disiasat mengikut
Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah
Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Guan Eng, yang baru selesai
merasmikan Majlis Penutup 8TV CNY Grand Bazaar, sedang bergambar dengan
orang ramai dan ingin masuk ke keretanya, sebelum seorang lelaki
berjubah putih tiba-tiba menjerit ke arahnya.

Kekecohan hampir tercetus apabila lelaki itu cuba mencetuskan provokasi,
dengan mengungkatkan kata-kata 'panas' yang tidak difahami.

Bagaimanapun tindakan lelaki itu tidak mendapat perhatian Guan Eng
apabila beliau terus menaiki kenderaannya dan meninggalkan lokasi berkenaan.

Lelaki itu juga dilihat seperti memegang sesuatu yang terselit di
pinggangnya dan memarahi pasukan keselamatan yang cuba mengambil barang
terbabit.

Keengganan lelaki itu bekerjasama dengan pihak keselamatan selain
berterusan membuat provokasi menyebabkan polis terpaksa menangkapnya
bagi mengawal keadaan.

- SINAR HARIAN -

0 comments:

Post a Comment