KUALA TERENGGANU: “Tak pernah terlintas di fikiran minat dan kelebihan saya bermanja dengan kerbau membuatkan saya terkenal sehingga ke luar negara,” kata Mohd Syukur Khamis, 14, yang foto memaparkan aksi manjanya bersama haiwan itu tular di media sosial.
Pelbagai
aksi pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu
dengan kerbau peliharaan bapanya mendapat pujian pengguna media sosial,
termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang
menyatakan kekagumannya terhadap keakraban dan kemesraan Mohd Syukur
bersama haiwan itu yang disifatkannya begitu ikhlas.
Gambar
tular itu dirakamkan jurugambar dikenali sebagai Dollah Deen
Photography yang berasal dari Kelantan tetapi bekerja di Kuala
Terengganu dan Mohd Nazri Sulaiman dari Johor yang berkahwin dengan
orang Kuala Terengganu dan kini menetap di Bangi, Selangor.
Keunikan
gambar itu melayakkan Mohd Nazri yang menetap di Kuala Lumpur memenangi
anugerah Street/People Photographer of The Year Asian Geographic -Image
of Asia 2018 dan Remarkable Award di Siena International Photography
Award 2018, Italy.
Malah, selain Mohd Nazri, sebelum ini
sudah ramai jurugambar yang memenangi anugerah hasil gambar memaparkan
momen Mohd Syukur bersama haiwan ternakan itu.
Mohd
Syukur berkata, sejak usia sekecil empat tahun dia sudah terbiasa
mengikut bapanya, Khamis Jusoh, 63, ke kandang kerbau di Kampung Kubang
Bujuk, di sini, menyebabkan hubungannya dengan haiwan itu sangat rapat
dan akrab.
Malah,
ketika mengikuti Mohd Syukur ke kandang kerbau itu haiwan berkenaan
umpama taat dan mendengar kata, serta menurut segala arahan remaja itu
lantas memudahkan sesi fotografi.
Mohd
Syukur yang mesra disapa Kur di kalangan ahli keluarganya berkata, dia
tidak takut bermanja dengan peliharaan itu yang dianggap sebagai
rakannya.
“Ada
orang kata saya ada ilmu penunduk sedangkan tidak. Mungkin sebab saya
dah biasa dengan mereka sejak kecil jadi mereka kenal tuan dan mendengar
kata. Tetapi sebenarnya saya bukan saja akrab dengan kerbau, tetapi
juga lembu, kambing dan angsa peliharaan bapa.
“Cuma
untuk sesi fotografi, jurugambar cenderung memilih kerbau kerana
jumlahnya yang banyak sehingga lebih 100 ekor,” katanya yang menjadi
perhatian jurugambar seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat dan India
sejak 2016.
Kebanyakan
kerbau, lembu dan kambing yang akrab dengannya diberi nama seperti
Awang, Wahab, Saat dan Boy dan haiwan ini boleh bergaul dengan Mohd
Syukur seperti manusia, malah ada yang tidur bersamanya ketika kecil.
“Kalau kambing pula saya rapat dengan
Saat. Selepas tiga hari dia lahir, ibunya mati dan saya menyusukannya
setiap hari dan menjaganya sehingga bawa tidur bersama di atas rumah.
Kerbau yang sangat rapat dengan saya dan sering menjadi teman ketika
fotografi bernama Awang juga sudah mati,” katanya.
Anak
bongsu dari lapan beradik itu berkata, walaupun sering didatangi
jurugambar yang mahu merakam gambarnya, keluarganya tidak pernah
menetapkan sebarang bayaran, sebaliknya tumpang gembira apabila
jurugambar bertuah memenangi pertandingan antarabangsa.
“Cuma
kebanyakan jurugambar ada memberi ‘tips’ dan jika ada saya terima, jika
tak ada pun tak mengapa. Saya bersyukur kerana dengan kelebihan saya
ini, sehingga kini saya dapat menyimpan kira-kira RM1,000 hasil ‘tips’
yang diterima,” katanya yang bercita-cita menjadi penternak.
Mohd
Syukur berkata, selepas tular dan dikenali ramai dia menerima ucapan
tahniah daripada guru dan rakan sekolahnya yang turut datang ke kandang
untuk merakamkan gambar bersamanya dan kerbau berkenaan.
“Saya
tidak bangga apabila menjadi tular, tetapi gembira sebab dulu ayah
sering dihina kerana pekerjaannya sebagai penternak kerbau. Tetapi hari
ini, saya seronok kerana dapat buat ayah bangga dan mengubah persepsi
orang terhadap pekerjaan ayah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di
Kampung Banggol Katong di sini, hari ini.
- BERITA HARIAN -
0 comments:
Post a Comment