Thursday 3 January 2019

Hiba hati ibu lihat kelengkapan sekolah tiga anak

KOTA BHARU: Betapa luluhnya hati ibu apabila melihat pakaian dan kelengkapan sekolah yang sudah dibeli tiga minggu lalu kepada tiga anak perempuan yang kini sudah meninggal dunia akibat lemas di Pantai Sura Tengah, Dungun, Terengganu, Isnin lalu.

“Sedih hati kami lihat kelengkapan persekolahan tiga anak ini, namun saya dan suami perlu kuat.

“Kami masih teringat kerenah anak yang tidak sabar hendak memulakan sesi persekolahan apabila mereka membeli keperluan dan kelengkapan sekolah mengikut kehendak masing-masing terutama beg. Kami juga sudah menyediakan tiga pasang pakaian dan sepasang kasut hitam,” kata Nur Syahida Abdullah, 35, ibu kepada tiga beradik yang lemas itu.


Tiga beradik berkenaan, Nurain Fatma Zawawi, 11, Nurain Sofea, 10, dan Nurain Sasabila, 6, ke pantai berkenaan bersama ibu saudara untuk menghabiskan cuti sekolah.

Nur Syahida ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkal Pisang, Peringat, berkata ketika membeli peralatan sekolah, dia dan suami, Zawawi Wahab, 42, mengikut kehendak anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Perol dan bongsu di sekolah PASTI.

Katanya, tiga anaknya juga menyimpan kemas peralatan sekolah di dalam bilik tidur mereka.
“Mereka teruja kerana dapat membeli peralatan sekolah lebih awal dan mengambil gambar sebelum menghantar kepada rakannya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Tiga anak sangat rapat dengan saya dan suami. Kami terasa kehilangan mereka, namun reda dengan ujian Ilahi,” katanya.

Manakala, Zawawi berkata, kehilangan tiga anak sekali gus amat perit untuk diterima kerana mereka sangat rapat dan manja.


“Memandangkan semua anak kami perempuan jadi mereka sedikit manja, jika luka sedikit pun mereka boleh menangis.

“Ini yang membuatkan saya ingat kepada anak termasuk kenangan di rumah ini, namun saya reda dan menerima ujian ini

“Sebelum ini, apabila mendengar ada kematian anak rakan, saya sering bertanya adakah kuat untuk menghadapi ujian daripada Allah SWT, namun kali ini ia terjadi kepada saya,” katanya.

Katanya, dia dan isteri mengizinkan tiga anak bercuti bersama ibu saudara kerana mereka amat rapat dan dianggap sebagai ibu sendiri.

Menurutnya, sebelum ini anaknya sering mengikut ibu saudara mereka bercuti termasuk ke Gua Musang.

Akhbar sebelum ini melaporkan percutian empat keluarga ke Dungun bertukar tragedi selepas tiga beradik Nurain Fatma, Nurain Sofea, dan Nurain Sasabila, 6, lemas selepas ditarik ombak ketika bermain di tepi Pantai Sura Tengah, jam 6.40 petang Ahad lalu.

Jenazah Nurain Sofia ditemui Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) jam 7.48 pagi dalam jarak lima kilometer dari tempat kejadian.

Manakala, jenazah kedua, Nurain Salsabila, ditemui jam 9.40 pagi kira-kira satu kilometer dari darat dan Nurain Fatma, ditemui dalam jarak lima kilometer dari lokasi kejadian jam 11.03 pagi, hari ini.

- BERITA HARIAN - 

0 comments:

Post a Comment