Sunday 6 January 2019

Undi rahsia Raja-Raja penentu Agong, Timbalan yang baharu



KUALA LUMPUR: Susulan peletakan jawatan oleh Sultan Muhammad V petang ini, Majlis Raja-Raja dijangka bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi memilih dan melantik Yang di-Pertuan Agong yang ke-16.

Laman web rasmi Majlis Raja-Raja yang dikemas kini pada Jumaat lalu, menyenaraikan beberapa prosedur dalam menentukan pemilihan Yang di-Pertuan Agong baharu. Baginda mesti dipilih oleh Majlis Raja-raja mengikut kaedah dan cara yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja.





Jika berlaku kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada empat minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pula akan menyembah syarat kepada setiap Raja bagi memohon perkenan sama ada Baginda berhasrat dicalonkan untuk dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Raja-raja yang tidak berhasrat dipilih hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dan negerinya akan diletakkan di tempat akhir sekali dalam senarai pencalonan pada masa itu.

Di bawah kategori kelayakan seorang Raja atau Sultan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, hanya Raja-Raja yang boleh dipilih selepas baginda memberi perkenan untuk dipilih, hanya Raja-Raja yang boleh mengundi dan jika seorang Raja tidak dapat berangkat dalam Majlis Pemilihan, seorang Raja lain hendaklah dilantik oleh Raja itu dan layak mengundi sebagai proksi.

Kebiasaannya, Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan dipilih, tetapi peraturan itu tidak lagi digunapakai selepas semua Raja dari negeri-negeri telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Pusingan ini berakhir selepas Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-sembilan.

Selepas itu senarai baharu yang dikenali sebagai senarai yang disusun semula dan digunapakai sekarang adalah berpandukan kepada kekananan negeri yang rajanya telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong (Yang di-Pertuan Agong Pertama hingga Kesembilan) mengikut Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan juga memperuntukkan seorang Raja layak dipilih kecuali belum dewasa atau telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Baginda tidak berhasrat dipilih.

Kelayakan juga hilang jika Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan secara undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong disebabkan kelemahan akal atau tubuhnya atau kerana apa-apa sebab lain. Ketetapan ini memerlukan undian sekurang-kurangnya lima orang Raja.

Prosedur lain adalah seperti berikut
Prosiding pemilihan


• Apabila Majlis Raja-raja bersidang untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri tidak hadir walaupun mereka anggota Majlis. Pemilihan dibuat secara undi sulit dan Kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat yang sama. Kemudiannya dimasukkan dalam peti undi. Kertas undi dimusnahkan di hadapan Raja-raja sebaik sahaja keputusan undian diumumkan. (Dibakar/dirincih)


• Raja yang paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih untuk mengira kertas undi bersama-sama dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Dalam Mesyuarat Pemilihan itu, hanya Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja sahaja yang terlibat dalam proses pemilihan.



Proses Pemilihan
• Semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membekalkan satu kertas undi setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya, sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai/tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

• Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Baginda.

• Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun Raja itu gagal memperoleh undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.

• Proses hanya akan selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu, Majlis akan mengisytiharkan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.

Apabila tamat urusan pemilihan Yang di-Pertuan Agong, urusan pemilihan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula disempurnakan mengikut proses yang sama pemilihan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas tamat kedua-dua urusan pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan menghantar surat mengesahkan keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.

Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai keputusan pemilihan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong hanya boleh menjalankan fungsi rasmi selepas menandatangani sumpah jawatan dalam satu istiadat di hadapan Majlis Raja-raja dan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan dengan ditandatangani saksi oleh dua orang Raja yang dilantik oleh Majlis Raja-raja sebagai saksi-saksi.


 - BERITA HARIAN -

0 comments:

Post a Comment