Monday 4 February 2019

Padah menyamar jadi polis



KEPALA BATAS - Menyamar sebagai anggota polis sebelum bertindak menyamun
mangsa, itu antara tindakan seorang lelaki dalam kejadian di
persimpangan lampu isyarat di kawasan Bertam baru-baru ini.

Suspek berumur 33 tahun itu dipercayai melakukan jenayah tersebut ke
atas seorang penunggang motosikal warga asing.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy
Mohd Noor berkata, suspek bertindak menyamar sebagai anggota polis
sebelum bertindak menahan mangsa yang ketika itu sedang menunggang
motosikal.

"Suspek bertindak mengugut mangsa yang tidak mempunyai lesen memandu
dengan meminta wang sebanyak RM1,000.

"Mangsa yang tidak mempunyai wang sebanyak itu, kemudiannya dibawa ke
satu tempat sebelum suspek bertindak menyamun mangsa," katanya.

Katanya, berang akibat tidak menuruti kemahuannya, suspek bertindak
menyamun wang serta telefon bimbit milik mangsa.

"Mangsa kemudiannya tampil ke balai polis berhampiran dan membuat
laporan berhubung kejadian," katanya.

Suspek kemudiannya berjaya ditahan sehari selepas kejadian oleh anggota
Unit Rondaan Bermotosikal yang menjalankan tugas rondaan.

"Polis merampas uniform polis dan beberapa barangan dipercayai hasil
samun yang dilakukan suspek.

"Hasil siasatan mendapati suspek terlibat dalam beberapa kes penyamaran
sekitar daerah ini," katanya.

Siasatan dijalankan mendapati suspek sebelum ini merupakan anggota
Sukarelawan Polis sebelum diberhentikan.

"Suspek dipercayai bertugas di sebuah daerah di sini sebelum
diberhentikan akibat masalah dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun
Keseksaan," katanya.

- SINAR HARIAN -

0 comments:

Post a Comment