SEORANG penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka menjadi mangsa samseng jalanan apabila diserang dan ditumbuk tiga individu, semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku pada 9 pagi di atas jambatan jalan pantai dari Dataran 1Malaysia Klebang ke bandar Melaka.
Rakaman mengenai kejadian itu yang berdurasi seminit 17 saat, turut tular di media sosial, memaparkan tiga lelaki menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda HRV memotong dan menghalang laluan mangsa sebelum menumbuknya.
Penguat kuasa itu yang ingin dikenali Hasan, 46, berkata ketika kejadian, dia memandu Proton Exora, berhenti di persimpangan lampu isyarat Klebang Utama dan meneruskan pemanduan apabila lampu isyarat bertukar hijau.
“Bagaimanapun, Honda HRV dinaiki tiga lelaki itu dari arah bertentangan, membuat pusingan U secara tiba-tiba menyebabkan saya terkejut dan mengangkat tangan kepada pemandu kenderaan berkenaan.
“Mereka dilihat tidak berpuas hati dan memarahi saya ketika kami bergerak seiring sehinggalah memotong kenderaan saya.
“Saya beri laluan dan memandu perlahan tetapi mereka berhenti betul-betul di atas jambatan. Tiga lelaki turun dan dua daripadanya meluru ke arah saya,” katanya ketika dihubungi.
Dakwanya, seorang lagi lelaki berdiri di hadapan kenderaannya dan mereka meluahkan kemarahan sebelum penumbuk dilayangkan ke arahnya.
“Saya ingat perkara itu mudah nak diuruskan tapi mereka melampau, seorang daripada mereka, lelaki yang tinggi menumbuk muka saya tepat kena pada mata kanan, dua kali.
“Makian jangan cakap la... Sudahlah melakukan kesalahan (pusingan U) di tempat yang tidak sepatutnya, saya pula menjadi mangsa,” katanya.
Dia mendakwa samseng jalanan itu turut menyepak kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya dan memukul cermin hadapan tetapi tiada kerosakan.
Susulan kejadian itu katanya, dia membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada 11.37 pagi, hari kejadian.
- HARIAN METRO -
0 comments:
Post a Comment