Friday, 1 February 2019

Laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook hina Agong



KUANTAN: Kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan parti politik di Pahang membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pengguna laman sosial Facebook yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini.



Dalam status Facebook berkenaan, pengguna yang menggunakan nama Facebook ‘Desmond Yongkor’ bertindak memuat naik kata-kata yang menghina Yang di-Pertuan Agong ketika Istiadat mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan, semalam.

Antara yang membuat laporan polis itu adalah Badan Kebajikan Kerabat-Kerabat Negeri Pahang, Pertubuhan Ikatan Amal Islami Negeri Pahang, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Negeri Pahang, Pejabat Agama Daerah Kuantan, UMNO Bahagian Kuantan, ABIM Pahang, WADAH Pahang, Malaysia Relief Agency Negeri Pahang dan Pertubuhan Akademi Pendidikan Indera Mahkota Wakil kumpulan itu, Mohd Sharil Abdullah berkata, perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan terhadap Yang di-Pertuan Agong oleh pengguna laman sosial.

“Perkataan sebegini tidak sepatutnya dikeluarkan kepada pembesar dan pemimpin negara terutama Ketua Negara Raja Berperlembagaan yang semestinya dihormati oleh seluruh rakyat jelata.

“Sehubungan itu, kami menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas kepada pemilik akaun dan sesiapa sahaja yang membuat penghinaan kepada Tuanku selaku Ketua Agama Islam Negeri Pahang dan Malaysia umumnya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis itu.

Mohd Sharil berkata, pengguna laman sosial berkenaan sepatutnya tidak layak menjadi rakyat Malaysia malah dia seharusnya dilucutkan status kewarganegaraan.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan pengguna laman sosial yang menghina dan mengutuk Al-Sultan Abdullah yang dilihat merendahkan martabat Raja Melayu.

“Saya meminta pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat perkara ini seterusnya mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang menghina Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sementara itu, Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain, berkata beliau meminta semua pentadbiran masjid di daerah ini supaya membuat laporan polis terhadap pengguna laman sosial berkenaan.

“Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana Yang di-Pertuan Agong seharusnya dihormati oleh semua pihak.

“Janganlah sewenang-wenangnya membuat kenyataan yang menghina Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Bukit Aman dan beberapa jabatan kerajaan yang lain untuk mengesan suspek yang terbabit.

“Siasatan segera akan dilakukan bagi mengesan suspek yang terbabit. Saya ingin ingatkan kepada orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan seperti ini sebab polis akan ambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit,” katanya.

- BERITA HARIAN -

0 comments:

Post a Comment