Monday 4 February 2019

Hina Tun Mahathir, polis diminta siasat Lokman Adam



LANGKAWI - Satu laporan polis dibuat supaya siasatan terhadap ahli
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam kerana
memfitnah serta menghina Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta
ibu bapa negarawan itu.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata
Lokman Noor dalam satu hantaran video di laman Facebooknya telah
menggunakan beberapa perkataan menghina serta fitnah terhadap Dr Mahathir.


"Dia juga menabur sentimen perkauman kerana menyatakan Dr Mahathir
mengikut telunjuk DAP. Sebagai Ketua Pemuda PH Kedah, saya membuat
laporan polis ini supaya satu siasatan segera dilakukan," katanya kepada
pemberita selepas beliau membuat laporan di Balai Polis Kuah, di sini
hari ini.

Mengulas lanjut, Asmirul Anuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia
dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan Kedah
berkata berbeza pandangan satu perkara biasa dalam politik namun tidak
perlu mengeluarkan perkataan menghina dan memfitnah.

"Kita boleh berbeza pandangan, tidak ada masalah tetapi jangan sampai
menghina Dr Mahathir dan ibu bapa negarawan itu.

"Video tersebut juga menabur fitnah supaya rakyat membenci Perdana
Menteri, rakyat seharusnya tahu Dr Mahathir berkorban pada usia 93 tahun
masih berkhidmat untuk rakyat Malaysia disebabkan skandal-skandal
kerajaan Barisan Nasional dahulu," kata Anggota Dewan Undangan Negeri
Kubang Rotan itu.

Berdasarkan laporan polis itu, Asmirul Anuar mahu polis mengambil
tindakan terhadap Lokman Noor kerana mengeluarkan kenyataan berbaur
perkauman, fitnah dan penghinaan kepada Dr Mahathir yang menjalankan
tugas serta tanggungjawab diamanahkan oleh rakyat Malaysia. - Bernama

0 comments:

Post a Comment