Saturday 9 February 2019

Perintah berkurung ESSZONE diteruskan



PERINTAH berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 25 Februari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Beliau berkata, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan itu antara 6 petang dan 6 pagi pada tempoh berkenaan.



“Perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.




Omar berkata, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Katanya, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya.

Harian Metro



Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 8:39 PM


0 comments:

Post a Comment