KUALA LUMPUR - Padah menunggang motosikal dengan menggunakan nombor
pendaftaran palsu, seorang lelaki warga Bangladesh ditahan polis dalam
Op Motorsikal di Jalan Raja Laut awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur,
Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, nombor pendaftaran yang
digunakan merupakan nombor yang didaftarkan atas lori.
Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan di bawah Seksyen 108 Akta
Pengangkutan Jalan 1987.
Zulkifli berkata, dalam operasi berasingan di Lebuhraya Duke polis
mengeluarkan 414 saman trafik dan menahan lapan lelaki berusia antara 17
hingga 27 tahun yang didapati menunggang motosikal dengan aksi berbahaya
dan berlumba.
“Op Samseng Jalanan yang dijalankan ini merupakan tindakan berjadual
polis dalam usaha mencegah kemalangan dan membasmi samseng jalanan.
“Operasi melalui sekatan jalan raya akan menumpukan lokasi strategik
khususnya pada malam minggu,” katanya.
Zulkifli menambah, semasa aktiviti penguatkuasaan, polis turut
menjalankan advokasi berkaitan keselamatan bagi penunggang motosikal
terutama dari sudut kepentingan melengkapkan struktur kenderaan dan
lain-lain aspek keselamatan di jalan raya.
- SINAR HARIAN -
0 comments:
Post a Comment