Monday 4 February 2019

Rugi RM136,000 ditipu 'polis palsu'

JURUJUAL di Kuantan berputih mata apabila kerugian RM136,000 selepas diugut sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 52 tahun itu menerima panggilan daripada lelaki pada 29 Disember tahun lalu yang memaklumkan nombor telefon rumahnya terbabit dengan kes judi dalam talian haram.

“Mangsa dinasihatkan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum diberikan nombor telefon kononnya milik IPK Kuala Lumpur.




“Dalam panggilan itu, mangsa bercakap dengan beberapa lelaki menyamar sebagai polis dan memberitahu akaun miliknya turut terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram bersama seorang penjenayah bernama David Lee,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa diminta untuk memasukkan wang dalam akaun diberikan bagi siasatan dan ia akan dikembalikan selepas penyiasatan selesai.

“Mangsa kemudian memasukkan wang ke dalam tujuh akaun membabitkan 26 transaksi bermula dari 29 Disember sehingga Sabtu lalu yang keseluruhannya berjumlah RM136,000.

“Selepas itu, mangsa ada menghubungi seorang daripada suspek untuk mengetahui status kesnya namun lelaki itu gagal dihubungi,” katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam selepas menyedari dirinya ditipu sindiket berkenaan.

“Polis sudah mengambil keterangan mangsa, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

- HARIAN METRO - 

0 comments:

Post a Comment