ALOR SETAR – Kehidupan Asma Aziz dihimpit kesedihan ketara dan terus meratapi kehilangan Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, di mana beliau kini kerap termenung dan sesekali mengalirkan air mata apabila mengenangkan anaknya itu yang meninggal dunia, kelmarin.
Ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini, hari ini, wanita berusi 51 tahun itu tidak banyak bercakap dan sesekali kelihatan matanya ‘berkaca’ lalu mengesatkan air mata tanda sebak.
Asma berkata, dia juga tidak boleh tidur semalam, kerana terlalu merindui Muhammad Adib yang sememangnya rapat dengannya serta suami Mohd Kassim Abd Hamid, 63 tahun.
“Ini pun mak cik tak sentuh lagi makanan. Hanya minum sahaja (selepas Muhammad Adib meninggal dunia). Tidak ada selera makan... FB (viral tentang kisah anaknya dalam Facebook) tidak boleh tengok. Ada orang nak tunjuk FB kepada mak cik pun, mak cik tak boleh tengok,” katanya.
Katanya, dia tidak menyangka Muhammad Adib yang juga anak kedua daripada empat beradik itu akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga secepat itu dan tidak menunjukkan sebarang tanda ketika Allahyarham pulang ke kampung baru-baru ini.
“Biasa sahaja dia. Tak ada yang pelik. Banyak sembang tentang persiapan kahwin sahaja, lembu untuk kenduri pun sudah ada. Masa dia bertugas waktu itu (semasa rusuhan), dia baru naik kerja dua hari selepas cuti seminggu di kampung.
“Sewaktu dia balik bercuti itu, dia ada bawa balik kereta baharu dia (Perodua Myvi) beli untuk tinggalkan di kampung bagi ayah dia naik tetapi ayah dia cakap dekat dia, tidak payah tinggallah.
Ayah naik kereta ayah sahaja. Tetapi dia tinggal juga kereta, dia balik semula bekerja naik kereta dengan tunang dia ketika itu, sekarang kereta itu ada di rumah ini,” katanya.
Asma berkata, beliau juga mahu melihat wajah individu yang didakwa memukul Muhammad Adib dan menyebabkan kecederaan parah kepada anaknya ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lepas.
Katanya, apa yang dilakukan ke atas anaknya adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan mahu mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman setimpal.
Menceritakan mengenai Muhammad Adib lagi, Asma menyifatkan Allahyarham sebagai seorang anak yang baik dan patuh kepada ibu bapa dan sentiasa mendapatkan pandangan daripada kedua-dua mereka mengenai sesuatu perkara.
Katanya, Muhammad Adib juga kerap mengambil cuti ketika musim menanam padi dan pulang ke kampung untuk membantu bapanya membuat kerja di sawah.
Dalam pada itu, Asma berkata, majlis perkahwinan Muhammad Adib yang sepatutnya berlangsung pada Ahad ini berkemungkinan akan digantikan dengan majlis tahlil untuk allahyarham.
Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini kira-kira 1.45 tengah hari semalam.
Muhammad Adib, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.41 malam selepas dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lepas. - Bernama
0 comments:
Post a Comment