KUALA LUMPUR - Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh secara rasmi menamatkan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, hari ini.
Tempat beliau akan dipangku Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin.
Persaraan Amar Singh, 60, yang berkhidmat sebagai pengarah di jabatan itu sejak 13 Oktober 2017 diadakan dalam satu Majlis Serah Terima Tugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim serta pegawai-pegawai kanan lain.
Amar Singh yang dilahirkan pada 6 Jun 1958 di Kinta, Perak menyertai PDRM pada 27 Februari 1983 sebagai Kadet Penolong Peguasa Polis sebelum ditugaskan di beberapa jabatan.
Sepanjang 35 tahun berkhidmat dalam PDRM, Amar Singh pernah memegang pelbagai jawatan antaranya Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) dan Ketua Polis Kuala Lumpur.
Amar Singh juga merupakan pegawai kanan polis pertama berbangsa Punjabi dilantik menjawat jawatan Komandan Pulapol, Kuala Lumpur dan Pengarah JSJK.
Antara kes besar yang pernah dikendalikan beliau adalah tragedi pesawat MH17, kes kebakaran tragis Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan kontroversi syarikat 1MDB.
Dalam pada itu, Amar Singh turut mengganggap siasatan 1MDB adalah cabaran paling besar yang sepanjang bertugas dalam PDRM.
"Banyak juga cabaran dalam kes lain. Tapi 1MDB adalah paling besar. Kes yang membabitkan serbuan yang besar," katanya.
Beliau turut menasihatkan anggota dan pegawai PDRM untuk menjadikan tugas sebagai satu minat bagi memastikan kerja dijalankan dengan baik.
Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata ketegasan dan kebijaksanaan Amar Singh serta keberaniannya dalan mengendalikan sesuatu isu adalah satu yang amat membanggakan.
"Ini adalah sifat terbaik seorang pemimpin. Tahniah dan syabas di atas khidmat cemerlang beliau," katanya.
- SINAR HARIAN -
0 comments:
Post a Comment