Tuesday 4 December 2018

Rusuhan kuil: 99 individu diberkas polis

Rusuhan kuil: 99 individu diberkas polis

KUALA LUMPUR - Polis menahan 16 lagi individu bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, Selangor yang berlaku pada 26 November lalu.

Tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan yang telah ditahan setakat jam 8 pagi ini seramai 99 orang.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
"Setakat ini, seramai 99 orang telah kita tahan dan semua tangkapan dilakukan sekitar Lembah Klang.

"Siasatan sedang dijalankan pembabitan mereka dalam insiden tersebut termasuk sama ada mereka ini adalah sebahagian daripada 28 individu yang dicari sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, PDRM sedang mengesan 28 orang saksi untuk membantu siasatan berhubung insiden rusuhan itu dan memohon kesemua saksi berkenaan tampil memberi kerjasama.


Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baharu, menyebabkan kecederaan parah kepada seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Institut Jantung Negara.

Kejadian itu juga menyebabkan seorang anggota polis cedera selain kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam.

- SINAR HARIAN - 

0 comments:

Post a Comment