Tuesday 18 December 2018

Pukul anggota polis, 3 lelaki ditahan

SHAH ALAM: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai memukul seorang anggota polis yang tidak bertugas di Berjaya Park Shah Alam, di sini, malam semalam.
Pada masa sama, polis kini sedang mencari dua lagi suspek yang dipercayai terbabit dengan insiden itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan awal 30-an ditangkap di sekitar Seksyen 32 ,di sini kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam semalam, mangsa, Lans Koperal Abi Sofian Abd Mutalib, 32, diserang lima suspek yang dipercayai mabuk di sebuah kedai di Jalan Sungai Rasau E32/E Berjaya Park, di sini.
"Mangsa ke kedai itu untuk membeli pengecas telefon bimbit dan diserang lima suspek yang mabuk. Seorang daripada suspek mengenali mangsa sebagai anggota polis sebelum merakam pengadu menggunakan telefon bimbit sambil mengatakan 'inilah polis suka makan rasuah'.
"Pengadu bertanyakan kepada suspek mengapa dia merakam dan membuat tuduhan seperti itu sedangkan ketika itu pengadu hanya ingin membeli pengecas telefon dan tidak bertugas," katanya ketika dihubungi NSTP.
Beliau berkata, mangsa cuba menghalang suspek daripada terus merakam dan mengeluarkan tuduhan seperti itu, namun berlaku pergelutan antara pengadu dan suspek.
"Ketika bergelut, seorang suspek menumbuk muka pengadu dan terkena di bahagian pipi kanan pengadu dan kemudian dihalang rakannya.
"Selepas pergelutan berjaya dileraikan, suspek mengugut untuk menyebarkan video itu di media sosial. Pengadu menghubungi Pondok Polis Berjaya Park untuk meminta bantuan dan semua suspek melarikan diri apabila kereta peronda polis tiba," katanya.
Baharudin berkata, pihaknya berjaya mengesan suspek menerusi nombor pendaftaran kenderaan yang dinaiki mereka.

0 comments:

Post a Comment