KUALA LUMPUR - Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah
Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman menerangkan hukum jual
beli semasa solat Jumaat dalam laman Facebook beliau, baru-baru ini.
Berdasarkan kesimpulan beliau, jual beli pada waktu tersebut akan jatuh
haram hanya apabila dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di
atas mimbar.
Menurutnya, ia juga akan jatuh haram sekiranya jual beli dilakukan oleh
lelaki, baik pembeli atau penjual yang wajib solat Jumaat dan segala
kesimpulannya adalah berdasarkan beberapa dalil malah beliau turut
menerangkannya dalam catatannya itu.
“Ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan
majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram',
cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga berpendapat pengharaman
bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu).
“Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati
oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.
Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut 'para ulama bersepakat berkenaan
pengharaman jual beli selepas azan kedua',” katanya.
Tambah beliau, persoalan juga timbul iaitu meskipun berjual beli di
waktu itu adalah haram, bererti penjual dan pembeli berdosa namun adakah
akad jual beli mereka ikut terbatal.
“Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dan terbahagi kepada dua
kumpulan. Pertama, akad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh
penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan
sebahagian Maliki.
“Kedua, akad batal dan berdosa. Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan
majoriti Maliki. Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah
lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya
dipenuhi.
“Kecuali jika ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas
kesalahan itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan akad,” jelasnya.
Justeru, beliau berharap khatib dapat mengingatkan perkara tersebut
setiap kali mereka berada di mimbar dan bila juga mengingatkan perkara
sama sebelum mereka melaungkan azan kedua.
“Apa pun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan di mana sahaja untuk
lebih berhati-hati dalam hal ini.
"Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga
dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari
kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya
secara berulang kali,” ujarnya.
Katanya lagi, bagi yang mengetahui berkenaan hukum haram ini, wajiblah
ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya dan wajib pula untuk
menyampaikannya bagi yang mengetahui.
- SINAR HARIAN -
0 comments:
Post a Comment