PARIT – Padah berkelakuan tidak senonoh akibat mabuk, seorang kontraktor
ladang sawit ditahan selepas bertindak agresif di Balai Polis Parit,
malam tadi.
Kejadian pada jam 12.10 tengah malam itu berlaku di hadapan kaunter
pertanyaan balai melibatkan dua anggota polis berpangkat koperal dan
lans koperal yang ketika itu sedang bertugas.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah
berkata, lelaki berusia 35 tahun berkenaan bukan sahaja meludah dalam
balai, malah bertindak menyimbah air minuman yang dipegangnya kepada
seorang anggota.
Menurutnya, meskipun ditenangkan, lelaki terbabit tetap cuba membuat
provokasi secara fizikal serta mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur
perkauman.
“Kejadian berlaku ketika lelaki itu datang ke balai dengan memandu
kereta pikap jenis Nissan Navara untuk membuat laporan berkenaan
kehilangan wang simpanan berjumlah RM5,000.
“Bagaimanapun, dia bercakap dengan nada tinggi dan mengeluarkan kata
kesat seperti 'You ingat you besar sangat ka? You tak tau sapa saya'
sebanyak lebih tiga kali kepada anggota bertugas ketika diminta
mengalihkan kenderaannya yang menghalang laluan.
“Meskipun diminta bersabar, lelaki terbabit cuba membuat provokasi
secara fizikal kepada anggota dengan meludah dalam balai dan mencurah
air ke atas anggota,” katanya.
Mohamad Zainal berkata, lelaki terbabit kini direman selama empat hari
untuk disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 atas kesalahan
melakukan kekecohan.
“Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana
menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 510 akta sama kerana
berkelakuan mabuk di tempat awam,” katanya.
- SINAR HARIAN -
0 comments:
Post a Comment