Wednesday 19 December 2018

Gerakkan seluruh tenaga perisikan kesan pembunuh Muhammad Adib - bekas KPN



KUALA LUMPUR: “Gembleng seluruh tenaga perisikan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kesan pembunuh Muhammad Adib sehingga ke lubang cacing!”.

Itu saranan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan PDRM dalam memburu suspek utama bertanggungjawab menyebabkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.



Beliau berkata pasukan siasatan dalam kes pembunuhan Muhammad Adib harus bekerja lebih keras sehingga dapat memastikan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Suspek kes ini, tidak kira apa bangsa sekalipun, haruslah diburu habis-habiskan sehingga dia dapat diberkas, dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman mati.

“Untuk memastikan dia dapat ditahan, PDRM seharusnya menggerakkan segala maklumat ‘intelligence’ (perisikan) yang ada bagi mengesannya,” katanya ketika dihubungi NSTP sebentar tadi.

Rahim berkata beliau juga percaya pasukan penyiasat yang terdiri dari pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan Polis Kontinjen Selangor, sudah mendapat pelbagai saluran maklumat hasil daripada saksi dan orang ramai.

“Justeru, dengan berbekalkan segala maklumat dari saksi dan orang ramai serta laporan perisikan yang ada, pihak polis harus segera bertindak kerana perkara ini sangat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat negara ini.

“Apabila pihak bertanggungjawab itu sudah dihadapkan ke muka pengadilan saya yakin perkara yang menjadi ketegangan di kalangan sebahagian rakyat Malaysia dapat diredakan,” katanya.

- BH - 

1 comment: