Wednesday, 19 December 2018

Farid Kamil positif dadah jenis ganja THC - saksi



PETALING JAYA : Seorang pegawai polis memaklumkan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, keputusan awal ujian saringan air kencing pengarah dan pelakon, Datuk Farid Kamil, adalah positif dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol.

Inspektor Mohd Faizal Abdullah, 32, yang juga saksi pertama pendakwaan itu berkata, proses ujian awal saringan air kencing itu dilakukan di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11 Januari lalu, iaitu pada hari sama insiden Farid, 37, didakwa menampar seorang anggota polis dan seorang orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Petaling Jaya itu berkata, pada jam 3.45 petang, beliau menerima laporan berkaitan tangkapan satu lelaki Melayu bernama Farid Kamil Zahari yang dibuat seorang anggota polis trafik, Koperal Mohd Nizam Jamaluddin.

“Tangkapan itu dibuat terhadap Farid yang membuat kecoh dan kekacauan di dalam Balai Polis Trafik Kota Damansara dan saya diberi arahan untuk melakukan ujian saringan awal air kencing terhadap tertuduh.

“Saya menjalankan ujian saringan air kencing terhadap tertuduh bagi memastikan sama ada tertuduh mengambil sebarang dadah ataupun tidak,” katanya ketika sesi pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran, pada hari pertama perbicaraan kes dadah dihadapi Farid.

Menceritakan semula proses awal ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap Farid itu, Mohd Faizal berkata, pada jam 4 petang, beliau bersama saksi polis yang lain, iaitu Koperal Hafiz, Koperal Faizol dan Lans Koperal Iskandar membawa tertuduh ke Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya .

“Sebaik tiba di sana, saya berjumpa dengan penyelia di sana, iaitu Sarjan Farid dan Lans Koperal Afifi sebelum Sarjan Farid mengambil 10 paket plastik yang setiap satunya mengandungi satu botol kosong bagi menjalani ujian air kencing dan di dalam setiap satunya pula mengandungi label serta nombor siri dan pelekat berwarna biru.

“Kemudian, Sarjan Farid juga meletakkan lima strip ujian air kencing bagi menguji lima dadah, iaitu Methamphetamine (syabu), Amphetamine, Ketamin, Morfin dan THC (ganja),” katanya.

Ketika disoal Alia mengenai keadaan 10 paket botol itu, Mohd Faizal berkata kesemuanya masih berada dalam keadaan belum dibuka dan digunakan selain terdapat nombor siri bagi setiap paket berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Faizal berkata tertuduh telah memilih satu botol dengan nombor siri 1186302 sebelum meminta Farid pergi ke tandas untuk mengeluarkan sampel air kencingnya.

“Selepas memperoleh sampel air kencing Farid di dalam botol itu, ujian dilakukan pada lima strip berkenaan dengan mencelup strip satu persatu tidak lebih 10 saat dan meletakkan di atas penutup botol urin.

“Hasil ujian saringan awal itu mendapati, terdapat satu garisan merah pada strip THC yang bermaksud positif dadah jenis ganja THC,” katanya.

Beliau berkata, Farid juga menandatangani borang akuan pemberi yang menunjukkan tertuduh berpuas hati dengan prosedur pungutan air kencing yang dijalankan. Dalam prosiding itu, Farid diwakili peguam bela Megat Syazlee Mokhtarom.

Pada 25 Januari lalu, Farid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan menggunakan THC, yang juga dadah terdapat pada ganja di Pejabat Narkotik, IPD Petaling Jaya jam 4.30 petang, tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya. Perbicaraan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham bersambung esok.

- BH - 

0 comments:

Post a Comment