Sunday 23 December 2018

Isu kuil: Presiden Persatuan India Malaysia didakwa kesalahan ganggu tugas Polis



PETALING JAYA - Presiden Persatuan India Malaysia dihadapkan ke Mahkamah
Majistret Petaling Jaya hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan dengan
insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ Disember lalu.

M Manimaran bagaimanapun mengaku tidak bersalah menghalang tugas
penjawat awam, Inspektor Mohammad Nazmi Zulkafli, Sarjan Mohamad Faiz
Abdul Rahim dan Korporal Ahmad Zamzam Mat daripada melakukan tugas dan
fungsi mereka.


Dia juga mengaku tidak bersalah melakukan rusuhan bersama-sama dengan 50
orang lagi yang masih bebas bagi menghalang laluan kereta peronda polis
untuk keluar daripada kawasan kuil tersebut.

Manimaran, 38, turut mengaku tidak bersalah dalam mencapai niat bersama
dengan mendatangkan kecederaan parah terhadap orang awam, Sulaiman Abdullah.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan kuil tersebut jam 12.30 tengah hari
dan 1.30 petang pada 26 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim
Hamzah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 147 dan Seksyen 325
kanun sama.


Zhafran mencadangkan RM10,000 sebagai jaminan.

Peguam John Das yang mewakili lelaki itu memohon jaminan rendah.

Majistret, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir membenarkan jaminan RM18,000 dengan
seorang penjamin selain diperintah melaporkan diri ke balai setiap bulan
serta passport ditahan di mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Disempurnakan sebagai sebutan semula kes.

- SINAR HARIAN -

0 comments:

Post a Comment