Thursday 27 December 2018

Tol Kekal, Tiada Kenaikan Tahun 2019


PETALING JAYA: Kerajaan memutuskan tiada kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara bermula 1 Januari depan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pembekuan kenaikan kadar tol itu akan membabitkan kos kerajaan sebanyak RM994.43 juta.

Katanya, kerajaan turut menganggarkan pembekuan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya membabitkan kos bayaran pampasan sekitar RM972.75 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya.



“Manakala, pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Lebuhraya Laluan Kedua di Johor pula membabitkan bayaran pampasan sebanyak RM20 juta setahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.


Beliau berkata, Jemaah Menteri pada 12 Disember lalu bersetuju membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara yang tolnya layak dinaikkan pada tahun 2019.

“Ia adalah satu penambahbaikan ketara kepada pengumuman Belanjawan 2019 pada 2 November lalu yang hanya membekukan semua kenaikan kadar tol di lebuh raya dalam bandar sahaja untuk tahun hadapan.


"Pembekuan komprehensif itu adalah berasaskan kepada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan untuk meringankan beban sara hidup dipikul rakyat," katanya.

Antara 21 lebuh raya yang terlibat:

- Lebuhraya Utara-Selatan

- Lebuhraya Link Kedua Malaysia-Singapura

- Lebuhraya Kesas

- Lebuhraya ELITE

- Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1

- Lebuhraya Sungai Besi (Besraya)

- Lebuhraya Pantai Baharu (New Pantai Expressway)

- Lebuhraya Damansara-Puchong

- Lebuhraya Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)

- Lebuhraya Butterworth-Kulim

- Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE)


- Lebuhraya Maju Expressway (MEX)

- Lebuhraya Kajang–Seremban (Lekas)

-Lebuhraya Senai-Desaru

- Lebuhraya Sprint

- Lebuhraya SKVE

- Lebuhraya Seremban-Port Dickson

- Lebuhraya New North Klang Straits Bypass (NNKSB)

- Lebuhraya Koridor Guthrie

- Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang)

- Stormwater Management and Road Tunnel (SMART)

- Mstar-

0 comments:

Post a Comment