Monday, 31 December 2018

Tinggal sebilik tapi tak buat apa-apa



MELAKA: Angkara ingin melepaskan rindu sebelum bertolak balik ke kampung halamannya, seorang penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) bersama teman lelakinya, dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), sempena Ops Ambang Tahun Baharu, awal pagi ini.

Pasangan kekasih berusia 22 tahun itu, ditahan di sebuah hotel bajet di Batu Berendam, di sini, kira-kira jam 3.30 pagi.



Lelaki yang bekerja kilang di daerah ini mendakwa, teman wanitanya itu dalam perjalanan untuk pulang ke kampung halaman di Kelantan dari Selangor namun terlebih dulu singgah di Melaka untuk bertemunya.



Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani, berkata operasi itu diadakan bagi memastikan sambutan tahun baharu tidak dicemari kegiatan maksiat.

Beliau berkata, sebanyak enam hotel bajet diperiksa dan hasilnya enam individu ditahan selepas didapati tinggal berdua-duaan dengan pasangan bukan mahram.

“Tiga pasangan yang ditahan itu berusia antara 22 hingga 27 tahun, dan ketika pemeriksaan dilakukan mereka gagal menunjukkan dokumen sah mengatakan mereka adalah pasangan yang sah.

“Malah penguat kuasa mengambil masa kira-kira 30 minit mengetuk pintu didiami pelajar IPTA itu sebelum mereka memberikan kerjasama dan membukanya,” katanya.

Rahimin berkata, pasangan ini memberikan bermacam alasan antaranya cuma singgah sekejap, hanya tinggal sebilik tetapi tidak melakukan apa-apa untuk tidak diambil tindakan.

“Alasan itu hanya sia-sia kerana perbuatan bersekedudukan atau berkurung sehingga mendatangkan syak adalah suatu kesalahan.

“Semua mereka ini akan ditahan dalam tempoh 24 jam untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua enam individu ini akan disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana berkurung mendatangkan syak.

- BERITA HARIAN - 

0 comments:

Post a Comment